Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kejadian naskah al-Quran dibuang ke dalam longkang berhampiran lombong dinafikan berlaku di bawah kawasan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pihak JAIS ketika dihubungi wartawan tadi mengesahkan kejadian yang tular itu berlaku di WIlayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Untuk makluman, lokasi kejadian membuang al-Quran itu bukan di bawah kawasan JAIS, tetapi di bawah kawasan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

"Kawasan kejadian berdekatan dengan pasar borong Selayang dan longkang itu berhampiran kawasan lombong Seri Murni.

"Sehubungan itu pihak JAIS sudah memaklumkan kepada JAWI untuk melakukan siasatan lanjut berhubung perkara itu," demikian menurut JAIS.

Pihak JAIS mengulas berhubung video tular penduduk digemparkan dengan penemuan lebih 10 nashkah Al-Quran yang dipercayai dibuang ke dalam longkang berhampiran kawasan lombong Seri Murni, Selayang baru-baru ini.

Video berdurasi 1 minit 39 saat yang tular di media sosial itu memaparkan seorang remaja lelaki mengutip naskah al-Quran di dalam longkang besar di lokasi berkenaan.

Video terbabit dipercayai dirakam oleh bapanya dengan memberitahu al-Quran berkenaan ditemui oleh seorang lelaki yang memancing di lombong itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 12:08 PM