LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Orang ramai diingatkan tidak menimbulkan spekulasi berhubung penemuan 13 naskah al-Quran dipercayai dibuang di sebuah longkang lombong di Jinjang, di sini 19 Februari lalu

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan berhubung kes itu masih dijalankan dan lapan individu sudah dirakam keterangan setakat ini.

"Siasatan berkaitan kes ini masih lagi dijalankan, elak membuat sebarang spekulasi kerana polis akan pastikan individu bertanggungjawab akan diambil tindakan sewajarnya.

"Masyarakat dinasihatkan tidak gusar kerana polis bersama agensi pihak berkuasa lain akan memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini sentiasa terpelihara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana individu ingin melupuskan al-Quran untuk mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa agama supaya dilupuskan dengan betul.

"Perlu dapatkan khidmat nasihat dari pihak berwajib misalnya jabatan agama sebelum pelupusan dilakukan bagi menjaga kesucian Al-Quran.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta membantu pihak polis dengan tampil atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, polis sedang mengesan individu dipercayai bertanggungjawab membuang 13 naskah al-Quran yang ditemui dalam longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang, di sini.

#kw buang al-quran, pdrm, jinjang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 5:14 PM