13 naskah al-Quran ditemui dalam bag di dalam longkang.
13 naskah al-Quran ditemui dalam bag di dalam longkang.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan individu dipercayai bertanggungjawab membuang 13 naskah al-Quran yang ditemui dalam longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang wanita berusia 52 tahun pada jam 11.32 pagi hari ini.

Menurutnya, sebuah klip video mengenai penemuan terbabut tular di platform media sosial TikTok dengan kejadian dipercayai berlaku pada 6.30 petang semalam.

"Pengadu sedang beriadah bersama suaminya ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan di tasik itu.

"Hasil pemerhatian pengadu mendapati senaskah al-Quran dalam keadaan terbuka dan terkeluar dari beg berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, pengadu kemudian meminta bantuan daripada seorang lelaki yang berada berdekatan untuk membawa naik beg terbabit.

Katanya, kesemua naskah al-Quran berkenaan dibawa ke Masjid Annas, Kampung Selayang Lama sebelum laporan polis dibuat.

"Hasil siasatan awal mendapati sebanyak 13 naskah al-Quran dijumpai di dalam longkang dipercayai sengaja dibuang di situ oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298 A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian atas agama," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 4:45 PM