SITI Bainun ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes penderaan Bella. FOTO Saifullizan Tamadi.
SITI Bainun ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes penderaan Bella. FOTO Saifullizan Tamadi.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Saksi pembelaan ketiga kes perbicaraan Siti Bainun Ahd Razali menyifatkan pengasas Rumah Bonda itu seorang yang penyayang terutama kepada kanak-kanak.

Noor Marliana Ramli, 28, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, dia mengenali wanita itu sejak 2019 dan menganggapnya seperti kakak.

Menurutnya, Siti Bainun menjaga kesemua anak jagaannya dengan baik walaupun terpaksa membahagikan masa antara penghuni Rumah Bonda dan penghuni di kondominium di Wangsa Maju.

"Siti Bainun seorang yang sangat baik, penyayang, melindungi, sayangkan kanak-kanak, suka membantu orang dan tahu apa dia buat," katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf.

Ditanya Mohammad Farhan mengenai kejadian Bella terkena air panas, Noor Marliana berkata, ketika kejadian Siti Bainun tiada di rumah.

Katanya, dia ada bersama Siti Bainun sepanjang hari kejadian itu berlaku kira-kira dua tahun lalu.

Menurutnya, kejadian hanya diketahui selepas bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood menghubungi Siti Bainun memberitahu Bella terkena air panas.

"Kejadian itu saya tidak nampak tapi Siti Bainun beritahu Yasmin menghubunginya cakap Bella terkena air panas.

"Kami terus pulang ke kondominium dan Siti Bainun pergi kepada Bella manakala saya bersama anak-anak kecil masuk ke dalam bilik.

"Apa yang saya nampak badan Bella kemerahan. Siti Bainun kemudian letak krim atau 'aloe vera' pada badan Bella yang merah-merah itu," katanya.

Ditanya bagaimana keadaan di dalam rumah selepas kejadian Bella terkena air panas itu berlaku, Noor Marliana memaklumkan melihat rak tempat letak termos hampir terbalik.

Selain termos, katanya, beberapa barangan termasuk periuk nasi dan penggoreng kering (air fryer) turut terjatuh.

Dalam prosiding itu, Mohammad Farhan juga bertanya sama ada saksi mengetahui sebab Siti Bainun dituduh atas pengabaian, Noor Marliana menjawab kerana Bella tercedera.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 5:19 PM