Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Saksi pembelaan menafikan memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, untuk menyelamatkan Siti Bainun Ahd Razali daripada tuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down dikenali Bella.

Saksi pembelaan ketiga yang juga rakan tertuduh, Noor Marliana Ramlee, 28, menafikan terhutang budi kepada pengasas Rumah Bonda itu dan mereka-reka cerita dalam keterangannya.

"Saya hadir hari ini untuk beritahu apa yang saya tahu sahaja, bukan untuk selamatkan Siti Bainun.

"Saya tidak pernah nampak kejadian itu (Bella diberi cili dan disimbah air panas) berlaku sepanjang berada di Kondominium Irama Wangsa," katanya semasa pemeriksaan semula oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf.

Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Shakira Aliana Alias, saksi itu memberitahu dia dan anak lelakinya tinggal bersama Siti Bainun di Kondominium Irama Wangsa, Wangsa Maju, kira-kira dua tahun lalu.

Noor Marliana yang bekerja sebagai kerani di Rumah Bonda dengan pendapatan RM900 sebulan, turut menafikan menerima barangan mewah termasuk kereta Honda Jazz daripada Siti Bainun.

Shakira: Saya katakan pendapatan RM900 ini tidak cukup untuk menanggung kehidupan kamu dan anak.

Noor Marliana: Cukup sebab saya ada suami.

Shakira: Saya katakan Siti Bainun menanggung kehidupan kamu dan keluarga.

Noor Marliana: Tidak setuju.

Siti Bainun diarah membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 1:32 PM