Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Saksi pendakwaan ke-12 kes pengabaian dan penderaan remaja sindrom down dikenali Bella memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, bahawa beliau tidak bersetuju remaja terbabit diletakkan di bawah jagaan Siti Bainun Ahd Razali.

Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, berkata, ini kerana beliau tidak mengenali dan mengetahui latar belakang pengasas Rumah Bonda berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, wanita terbabit mendapat hak penjagaan sementara yang diberikan Mahkamah Majistret selepas dimohon seorang lagi pegawai JKM lain dikenali Siti Sarah.

"Pada 14 Julai 2020 adalah tarikh perintah jagaan Bella di Taman Sinar Harapan, Seremban, Negeri Sembilan tamat tempoh. Saya bawa Bella ke Mahkamah Majistret Kanak-Kanak Kuala Lumpur untuk mendapatkan satu perintah baharu ke atas penjagaan Bella, bermula 14 Julai hingga 20 September tahun sama.

"Mahkamah membenarkannya dan selepas itu, saya masuk pejabat akhlak sebelah mahkamah berkenaan dan di dalamnya ada Siti Bainun. Pada ketika itu, Siti Bainun panggil Bella yang kemudian peluk beliau dan mereka dilihat berbual.

"Kemudian, Siti Sarah berjumpa saya dan menyampaikan hasrat Siti Bainun untuk menjaga Bella yang mana pada peringkat awalnya saya tidak setuju. Siti Sarah mengatakan Siti Bainun ada menjaga dua orang kurang upaya (OKU) lain dan tiada kesalahan jenayah pada ketika itu.

"Siti Sarah turut merujuk hasrat itu kepada mahkamah sebelum saya masuk menasihati majistret berkaitan perkara itu. Majistret maklumkan cuba letakkan Bella sementara dalam jagaan Siti Bainun dan pantau keadaan sepanjang tempoh itu sebelum menarik balik permohonan (Bella tinggal di Taman Sinar Harapan) dibuat sebelum itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Imran berkata, perintah tetap supaya Bella diletakkan bawah jagaan Siti Bainun dikeluarkan mahkamah pada 24 September 2020.

Selain itu, beliau berkata, mahkamah turut menetapkan enam syarat termasuk pegawai pelindung berhak melawat remaja itu di mana dia berada.

Antara lain, katanya, orang yang layak berhak dari masa ke masa berbincang dengan pegawai pelindung jika timbul masalah, memberi pendidikan dan kasih sayang tanpa diskriminasi serta memastikan perbuatan aniaya dan abai kanak-kanak itu tidak berlaku.

Saksi itu berkata, beliau turut meminta Siti Bainun meneruskan persekolahan Bella seperti semasa Bella di bawah jagaan JKM di taman sinar harapan berkenaan.

Ditanya sama ada Bella dihantar bersekolah oleh Siti Bainun seperti yang dimintanya, saksi itu menjawab, tidak.

SITI Bainun hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
SITI Bainun hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 2:30 PM