PUSAT TVET menerima pengiktirafan sebagai  Penyedia Latihan Bertauliah (ATP). FOTO Ihsan pembaca.
PUSAT TVET menerima pengiktirafan sebagai Penyedia Latihan Bertauliah (ATP). FOTO Ihsan pembaca.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Seiring dengan kemajuan teknologi semasa, ruang pembelajaran juga harus sejajar dengan keperluan industri sekali gus tidak melahirkan graduan yang tercicir.

Untuk itu, Pusat Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima pengiktirafan sebagai Penyedia Latihan Bertauliah (ATP) daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Pengiktirafan berkenaan sekali gus menjadikan Pusat TVET institusi berkenaan menjalankan 14 jenis aktiviti yang boleh menyumbang kepada pentauliahan Pembangunan Profesional Berterusan (CBD), Teknologis (Ts) dan Juruteknik Bertauliah (Tc).

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, Pusat TVET ini juga dibenarkan untuk menggunakan logo MBOT untuk tujuan promosi.

"Ini adalah antara langkah awal yang diambil dalam visi menjadi antara peneraju pusat TVET di negara ini amnya, dan di Perlis khususnya.

"Malah kami menyasarkan untuk terus mengembangkan kerjasama dengan industri dan institusi TVET lain dalam memartabat lepasan TVET agar dapat menyumbang dengan lebih bermakna kepada kemampanan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebagai satu entiti pemerkasaan kriteria dan profil bakal graduan TVET, pusat ini menetapkan enam teras iaitu latihan, akademik, produk, perkhidmatan, perundingan dan komuniti.

Menurutnya, makmal industri di pusat TVET menawarkan program pensijilan profesional kepada pelajar dan staf institusi ini, orang luar sama ada pelajar atau staf institusi pengajian tinggi dan sekolah, pekerja industri dan juga orang perseorangan.

"Program pensijilan profesional ini merangkumi kompetensi yang diperlukan oleh industri mengikut bidang tertentu seperti elektronik, automasi industri, Internet Kebendaan (IoT) dan telekomunikasi.

"Latihan ke arah pensijilan profesional ini dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan, juga untuk upskilling dan reskilling dalam kalangan tenaga pengajar institusi serta sekolah dan juga pekerja industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 5:05 PM