Zaliman (kanan).
Zaliman (kanan).
Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

Penguasaan bidang teknologi di samping kepakaran sesuatu bidang menjadi indikator utama dalam industri hari ini terutamanya untuk graduan sekali gus memastikan golongan ini tidak ketinggalan dalam arus kemajuan.

  Sistem pendidikan khususnya universiti perlu melahirkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri di samping menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

  Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Dr Zaliman Sauli berkata, institusi pengajian tinggi berkenaan tidak ketinggalan untuk memperkasakan keupayaan graduan dalam menghadapi cabaran semasa dalam industri.

  Menurutnya, pemerkasaan akademik menjadi agenda utama UniMAP dengan pengukuhan bidang tujahan universiti iaitu penekanan kepada elektronik, bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, teknologi, sains dan bidang-bidang berkaitan agar universiti itu dapat bergerak seiiring hasrat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

  "Sehingga hari ini 61.9 peratus daripada 42 program peringkat diploma dan sarjana muda yang ditawarkan UniMAP adalah program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), justeru UniMAP menerusi Pusat Pengurusan Akademik (AMC) akan mempercepatkan usaha bagi memastikan 70 peratus program TVET di universiti ini tercapai.

  "Pusat pengajian ini juga menawarkan program baharu yang dituntut keperluannya oleh industri dengan pengekalan 30 peratus program berfokus kepada kejuruteraan serta 70 peratus kepada program teknologi kejuruteraan dan teknologi," katanya dalam satu kenyataan akhbar, sebentar tadi.

  Pada masa sama, beliau menyenaraikan 11 indikator utama yang menjadi aspirasi Naib Canselor UniMAP bagi meningkatkan reputasi universiti berkenaan secara keseluruhannya,

  Zaliman berkata, agenda penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan juga menjadi indikator aspirasi beliau dengan mensasarkan pemerolehan geran penyelidikan sebanyak RM12 juta bagi tahun 2022.

  Katanya, sebagai universiti teknikal selain daripada menjayakan agenda pendidikan dan TVET yang dikenalpasti sebagai pemboleh daya dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, UniMAP juga perlu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi utama (KEGA) di wilayah utara.

  "Usaha juga perlu dilaksanakan untuk memastikan penyelidik UniMAP terlibat dengan kolaborasi penyelidikan bidang tujahan NCER di Chuping Valley Industrial Area (CVIA)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 11:36 AM