STANDARD dan kualiti program yang ditawarkan kolej vokasional yang mendapat pelanjutan Akreditasi Penuh berada pada tahap yang tinggi.
STANDARD dan kualiti program yang ditawarkan kolej vokasional yang mendapat pelanjutan Akreditasi Penuh berada pada tahap yang tinggi.
Suliati Asri


DALAM usaha untuk terus mempertingkat kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, sebanyak 193 program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dalam pelbagai bidang mendapat pelanjutan Akreditasi Penuh oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Program berkenaan meliputi 10 kategori bidang seperti Diploma Teknologi Mekanisasi Agro, Diploma Teknologi Elektronik, Diploma Teknologi Automotif, Diploma Teknologi Kimpalan, Diploma Teknologi Pembinaan, Diploma Teknologi Elektrik, Diploma Teknologi Pemprosesan Kayu dan Kemasan, Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Teknologi Pemesinan Industri, Diploma Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara, Diploma Teknologi Sistem Pengurusan Pangkalan Data dan Aplikasi Web serta Diploma Animasi 3D daripada Kolej Vokasional di seluruh negara.

MBOT dalam satu kenyataan berkata, pelanjutan Akreditasi Penuh dipohon pusat pengajian yang sebelum ini tidak diberikan tempoh maksimum penawaran program kerana ada beberapa syarat berkaitan yang tidak dapat dipenuhi.

Namun, mereka berjaya menambah baik beberapa kriteria seperti yang ditetapkan MBOT dan diberikan pelanjutan tempoh akreditasi.

"Hasil penilaian oleh panel pakar MBOT, kolej vokasional terbabit sudah diberikan penambahan tempoh akreditasi sehingga tempoh maksimum iaitu enam tahun.

"Akreditasi program TVET termasuk di kolej vokasional adalah salah satu aspek penting untuk memastikan jaminan kualiti program yang ditawarkan.

"Proses penilaian akreditasi dilaksanakan secara menyeluruh dan berdasarkan polisi yang ditetapkan Majlis Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya.

Pelanjutan ini juga membuktikan bahawa standard dan kualiti program yang ditawarkan kolej vokasional berada pada tahap yang tinggi.

Penambahbaikan yang dijalankan kolej vokasional untuk mematuhi standard ditetapkan MBOT menunjukkan komitmen mereka dalam memastikan kualiti pendidikan TVET di negara ini sentiasa ditambah baik secara berterusan.

Graduan daripada program ini turut berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda dalam program Sarjana Muda Teknologi (Bachelor of Technology -B.Tech) yang ditawarkan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia iaitu Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Teknikal Melaka.

Akreditasi daripada MBOT akan membantu graduan TVET dalam kebolehpasaran apabila mereka tamat pengajian kerana penekanan diberikan terhadap aspek aplikasi, penyelesaian masalah dan pembabitan industri termasuk teknologis dan juruteknik daripada industri.

Selain itu, MBOT juga menekankan pelbagai aspek lain dalam kerangka penilaian akreditasi seperti kualiti program, kaedah penilaian pelajar, kualiti pengajar, fasiliti dan infrastruktur, tadbir urus serta penambahbaikan kualiti berterusan.

Justeru, MBOT menyeru semua majikan termasuk di sektor awam dan swasta untuk menerima serta memberi upah yang sewajarnya kepada graduan TVET seperti yang dihasratkan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 7:00 AM