LAWATAN lapangan untuk kolaborasi dan kerjasama dengan pelbagai pihak.
LAWATAN lapangan untuk kolaborasi dan kerjasama dengan pelbagai pihak.
Suliati Asri


Dalam menuju ke arah negara maju, teknologis dan juruteknik perlulah diberi perhatian sewajarnya memandangkan ada trend khususnya golongan muda memilih berhijrah ke negara lain seperti Arab Saudi, Singapura dan Australia.

Sekiranya perkara itu tidak ditangani, tidak mustahil negara akan mengalami krisis untuk membangunkan industri dan teknologi tempatan.

Perkara ini juga disahkan dalam satu kajian dijalankan syarikat perunding sumber manusia terkemuka yang mendedahkan 72 peratus pekerja muda Malaysia mempertimbangkan untuk bekerja di luar negara.

Antara sebab-sebabnya, kekurangan pembangunan kerjaya, kekurangan penghargaan atau pengiktirafan, kekurangan peluang latihan, ketiadaan kenaikan gaji, masalah pengurusan, berasa mereka bekerja terlalu kuat dan kekurangan fleksibiliti.

Justeru, Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) menyambut baik komitmen kerajaan terus memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui inisiatif dibentangkan dalam Belanjawan 2023.

Presiden MBOT, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, sebagai badan profesional yang mengiktiraf teknologis dan juruteknik sebagai profesional, pengiktirafan profesional diberi kepada graduan TVET satu nilai tambah yang akan menyumbang kepada penerimaan majikan dan industri.

Katanya, langkah itu, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada majikan di sektor awam dan swasta untuk menawarkan pakej pekerjaan yang menyokong hasrat Kerajaan untuk memperkasa golongan ini.

"Pengumuman kerajaan mengenai kerjasama dengan sektor swasta terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan institusi TVET Persekutuan mampu membantu graduan yang lebih memenuhi keperluan industri dan seterusnya akan dibayar secara setimpal.

"Ini tindakan serampang dua mata untuk kerajaan memanfaatkan sumber dan kemudahan yang ada," katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2023, Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan walaupun kadar kebolehpasaran graduan TVET 90 peratus, namun 90 peratus daripada mereka meraih gaji kurang daripada RM2,000 sebulan.

Justeru, Anwar menekankan bahawa semua pihak termasuk majikan di sektor awam dan swasta supaya memainkan peranan memastikan graduan dibayar dengan gaji yang lebih setara dengan kemahiran yang dimiliki.

Penekanan terhadap kepentingan pulangan atas pelaburan sebanyak RM6.7 bilion dalam sektor TVET wajar diberi perhatian supaya ia dimanfaatkan sepenuhnya semua pihak termasuk majikan, institusi latihan TVET dan graduan sendiri.

Mengulas lanjut, Dr Siti Hamisah berkata, MBOT berpandanganpolisi dan pendekatan Kerajaan dalam Belanjawan 2023 adalah tindakan yang tepat pada masanya.

"Kita harus meningkatkan pembabitan bakat TVET dalam rantaian nilai industri yang lebih tinggi jika kita mahu menjadi negara maju dalam masa terdekat.

"Inisiatif ini harus diperluaskan dalam bidang 'deep technology' seperti bahan termaju, kepintaran buatan, dan data raya," katanya.

Dalam hal ini, MBOT berharap pihak industri dapat memainkan peranan meningkatkan produktiviti dengan membabitkan tenaga kerja TVET.

Dr Siti Hamisah berkata, adalah amat baik sekiranya industri terbuka untuk kerjasama dengan program institusi pengajian tinggi (IPT) atau kerajaan.

"Langkah itu akan menjadi situasi menang-menang di mana, pihak industri dapat 'utilise talent/ workforce' dan graduan atau pekerja dapat pengalaman dan pekerjaan," katanya.

Pada masa ini, lebih daripada 67,000 ahli berdaftar dengan MBOT termasuk lebih daripada 20,000 Profesional Teknologis dan Juruteknik Bertauliah.

Selain itu, MBOT mengiktiraf lebih daripada 800 program berkaitan teknologi dan teknikal di IPT yang menghasilkan teknologis dan juruteknik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 6:30 AM