KECEMERLANGAN graduan tidak hanya tertumpu kepada aspek teori, tetapi memerlukan kepada penguasaan praktikal seperti mengendalian aspek teknologi industri baharu.
KECEMERLANGAN graduan tidak hanya tertumpu kepada aspek teori, tetapi memerlukan kepada penguasaan praktikal seperti mengendalian aspek teknologi industri baharu.
Muhammad Saufi Hassan


MENDEPANI Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), graduan institusi pengajian tinggi seharusnya lebih bersifat praktikal dan tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan teori.

Kemajuan teknologi pada hari ini banyak memberi ruang kepada segmen industri untuk meneroka pelbagai bidang lain yang selama ini 'tersekat' akibat daripada ketidakcekapan sumber ketika itu.

Untuk itu, persediaan graduan sangat penting dan mereka tidak seharusnya terlalu bergantung kepada kemahiran teori semata-mata sebaliknya perlu berkeupayaan secara praktikalnya menerusi pendedahan di peringkat universiti lagi.

Institusi pengajian tinggi juga perlu memiliki fasiliti atau prasarana kelas dunia untuk membolehkan pelajar atau pengkajinya menggunakan perkhidmatan berkenaan yang menyamai standard industri.

Graduan hari ini dan masa depan menghadapi cabaran yang besar kerana mereka tidak lagi hanya bergantung kepada satu aliran iaitu pemahaman teori sebaliknya perlu seiring dengan keupayaan praktikal.

Dunia pada hari ini berada dalam jaringan telekomunikasi termaju iaitu 5G dan negara juga menuju ke arah penyediaan infrastruktur berkenaan sekali gus, memungkinkan teknologi yang selama ini tidak dapat digunakan kerana berlaku kelengahan untuk direalisasikan.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) boleh dijadikan contoh terbaik dalam aspek ini apabila sentiasa memperbaharui kaedah pembelajaran serta mengutamakan praktikal dalam bidang kritikal khususnya kejuruteraan.

Sebagai institusi pengajian tinggi berasaskan kepada bahagian pembelajaran kritikal, UniMAP terus mengorak langkah ke depan untuk memantapkan keupayaan graduan serta tenaga pengajarnya supaya sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Terbaharu, institusi berkenaan memperkukuh jaringan strategik dan kolaborasi antarabangsa di Jerman melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama Ostbayerische Technische Hochschule (OTH) Regensburg.

Naib canselornya, Prof Dr Zaliman Sauli berkata, kerjasama ini dilihat sebagai peluang baik untuk diceburi UniMAP bagi memperkaya pengalaman dan pendedahan teknikal yang lebih meluas kepada pelajar dan staf seiring hasrat pemerkasaan TVET negara.

Katanya, jalinan kerjasama ini turut membabitkan pertukaran kepakaran, pengetahuan dan teknologi, pembangunan kakitangan (profesional dan akademik), promosi pendidikan, latihan dan pembangunan untuk pelajar dan kakitangan serta peluang melaksanakan 'post-doctoral studies' yang menempatkan pensyarah UniMAP di OTH Regensburg bagi menjalankan penyelidikan.

"Kolaborasi UniMAP-OTH Regensburg ini akan memberi tumpuan terhadap bidang penderia semikonduktor dan mikroelektronik yang diketuai Prof Madya Dr Muhammad Mahyiddin Ramli di mana UniMAP turut diberi pengiktirafan sebagai Hub Pembuatan (Semikonduktor) ketika Minggu TVET Negara baru-baru ini," katanya.

Pada masa sama, OTH Regensburg yang diasaskan pada 1971 adalah salah sebuah universiti Sains Gunaan terbesar di Jerman dan antara universiti awam terkemuka di negara itu.

Universiti ini juga terkenal dengan kecemerlangannya dalam bidang teknikal dan penyelidikan merangkumi Sains Gunaan, Mikroelektronik, Tenaga Boleh Diperbaharui, Teknologi Penderia, Mekatronik, Biokejuruteraan, Sains Komputer dan Kejuruteraan Automotif.

Langkah berkenaan adalah sangat perlu supaya setiap graduan peka tentang perubahan arus teknologi baik daripada segmen industri sehingga kepada kegunaan semasa.

Ia juga salah satu cara untuk memastikan graduan setiap pusat pengajian berkenaan kekal relevan dan mampu bersaing, sekali gus memudahkan mereka untuk penempatan dalam alam kerjaya kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 7:00 AM