Ariffin Samsudin
Ariffin Samsudin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tiada istilah Jalan Petaling kebal dari tindakan undang-undang.

Itu amaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terhadap peniaga yang menjadikan lokasi itu sebagai hub barangan tiruan.

Buktinya apabila KPDN merampas beg tangan, dompet, kasut dan jam pelbagai jenama yang dipercayai tiruan bernilai lebih RM500,000.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, rampasan dilakukan menerusi Operasi Bersepadu yang dijalankan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Ahad lalu.

"KPDN menyerbu tujuh stor yang dijadikan tempat penyimpanan barang-barang yang disyaki tiruan pelbagai berjenama. Semua barangan berkenaan disita kerana disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah.

"Serbuan ini juga turut menahan dua lelaki warganegara yang mengaku sebagai pemilik stor berkenaan, "katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ariffin berkata, hasil pemeriksaan di tujuh stor berkenaan, pasukan serbuan menyita 2,662 unit barang tiruan dianggarkan bernilai RM570,000.

"Berdasarkan siasatan, semua barangan ini diperoleh dari luar negara dan semua stok ini adalah bagi tujuan penjualan kepada pelancong.

"Barang tiruan yang berkualiti tinggi ini dijual dengan harga RM500 sehingga RM4,000 seunit. Siasatan juga mendapati jam tangan tiruan berjenama dijual dengan harga RM750 sehingga RM4,000,"katanya.

Menurutnya, siasatan berhubung rampasan berkenaan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001); Akta Cap Dagangan 2019; Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.

"Bagi tahun ini sebanyak 25 kes terhasil dan disiasat mengikut akta berkenaan membabitkan nilai RM1.2 juta dengan barang sitaan sebanyak 24,537 unit.

"Manakala jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 4.0 bagi tahun 2023 adalah seramai 13 individu berkaitan dengan harta intelek, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 3:09 PM