ANGGOTA penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur membuat pemeriksaan terhadap dua premis yang dijadikan sebagai stor penyimpanan jersi bola berjenama disyaki tiruan di sebuah kompleks di Bandar Manjalara, Kepong, Kuala Lumpur, semalam.
ANGGOTA penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur membuat pemeriksaan terhadap dua premis yang dijadikan sebagai stor penyimpanan jersi bola berjenama disyaki tiruan di sebuah kompleks di Bandar Manjalara, Kepong, Kuala Lumpur, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sindiket penjualan jersi bola sepak berjenama disyaki tiruan yang mendapat sambutan susulan perlawanan Piala Dunia Qatar 2022 dilumpuhkan dalam serbuan di sebuah kompleks komersial di Bandar Manjalara, Kepong, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur Nurul Syarina Md Anuar berkata, serbuan dilakukan bersama-sama wakil pemilik cap dagangan di dua premis di lokasi berkenaan yang dijadikan stor penyimpanan hasil risikan selama satu minggu.

"Hasil pemeriksaan di kedua-dua premis berkenaan, kami menyita 1,500 jersi bola sepak berjenama disyaki tiruan yang dianggarkan bernilai RM50,000.

"Kami turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an yang juga pemilik dua premis itu untuk siasatan lanjut," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Nurul Syarina berkata, kesemua barangan itu dirampas kerana disyaki menggunakan cap dagangan secara salah mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Nurul Syarina berkata, pemilik premis itu didapati menjual barangan terbabit secara dalam talian menggunakan platform e-dagang.

"Selain diedarkan di seluruh negara, sindiket itu juga didapati menjual barangan berkenaan di luar negara seperti Singapura, Hong Kong, Botswana dan negara lain.

"Harga jersi berjenama ini diperoleh pada kos antara RM10 sehingga RM30 sehelai sebelum dijual dengan harga RM35 hingga RM70 sehelai.

"Permintaan jersi bola sepak ketika ini amat menggalakkan susulan perlawanan Piala Dunia Qatar 2022 dan peminat tidak melepaskan peluang untuk membeli jersi pasukan kegemaran," katanya.

Beliau berkata, kes itu juga disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

"Berdasarkan statistik penghasilan kes harta intelek bagi KPDN Kuala Lumpur, sebanyak 125 kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 bagi tempoh Januari lalu hingga awal Disember ini.

"Ia membabitkan rampasan 165,734 barangan dianggarkan bernilai RM4.23 juta.

"Bagi tangkapan di bawah Op Jeriji 3.0 bagi tempoh sama, seramai 24 individu ditahan membabitkan kesalahan berkaitan dengan harta intelek," katanya.

Katanya, KPDN Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang harta intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan dalam membanteras penjualan barangan tiruan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagangan berdaftar di Malaysia.

"Usaha membanteras penyalahgunaan cap dagangan ini juga membabitkan komitmen negara di peringkat antarabangsa.

"Kami menyeru orang ramai supaya tidak terbabit dalam urus niaga barang tiruan berjenama serta tidak bersubahat dengan membeli barangan berkenaan daripada peniaga tidak bertanggungjawab.

"Kami memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang. Peniaga yang ingkar boleh dikenakan hukuman berat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 3:37 PM