Menurut Azlina (kiri) mereka tertarik menyertai pakej pelancongan ke Perth bernilai RM2,190 dan umrah bernilai RM2,990 pada 2018. FOTO Ahmad Mukhsein Mukhtar
Menurut Azlina (kiri) mereka tertarik menyertai pakej pelancongan ke Perth bernilai RM2,190 dan umrah bernilai RM2,990 pada 2018. FOTO Ahmad Mukhsein Mukhtar
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Seramai 38 peserta pakej umrah dan pelancongan ke Perth, Australia, menuntut wang mereka berjumlah lebih RM120,000 dikembalikan selepas program itu dibatalkan penganjur pada 2020 akibat Covid-19.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Azlina Abdullah, 52, berkata peserta pakej yang kebanyakannya bekerja sebagai guru terkilan apabila penganjur pakej, iaitu sebuah yayasan di Shah Alam, gagal memulangkan wang mereka sehingga kini.

Katanya, mereka tertarik menyertai pakej pelancongan ke Perth bernilai RM2,190 dan umrah bernilai RM2,990 pada 2018 selepas melihat ramai rakan guru serta ahli keluarga berjaya mengikuti program berkenaan.

"Pada 2018, yayasan terbabit melalui orang tengahnya yang juga guru besar sebuah sekolah di Alor Setar menawarkan kami menyertai pakej pelancongan ke Perth dan pada 2019 menawarkan pula pakej menunaikan umrah.

"Seramai 38 peserta membuat bayaran penuh kepada yayasan terbabit kerana tertarik dengan pakej terbabit, namun apabila wabak Covid-19 melanda, semua pakej terbabit dibatalkan pada 2020 dan kami wang kami akan dipulangkan.

"Apa yang menyebabkan kami buntu adalah selepas hampir tiga tahun, wang berkenaan tidak dipulangkan, malah kami dimaklumkan yayasan itu sudah ditutup dan individu bergelar 'haji' yang sepatutnya menguruskan pakej kami gagal dihubungi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Difahamkan, yayasan terbabit turut menawarkan pakej pelancongan dan umrah sama kepada kumpulan peserta di Pahang dan mereka dikatakan turut mengalami masalah membuat tuntutan sama ketika ini.

Azlina berkata, mereka cuba menyelesaikan masalah itu secara baik termasuk berbincang bersama guru besar wanita yang menjadi orang tengah bagi mendapatkan wang bayaran kembali.

"Guru besar terbabit sudah pencen pada Januari lalu, namun pada tahun lalu, dia sempat mendesak kami menandatangani perjanjian penyelesaian tetapi meminta kami agar tidak menghebohkan perkara ini.

"Pemulangan bayaran sepatutnya dibuat secara berperingkat mulai Februari tahun lalu, tetapi tidak dilakukan, malah tindakan seorang peserta yang juga guru di sekolah sama bersama guru besar berkenaan menuntut bayaran menyebabkan dia ditukarkan ke sekolah lain," katanya.

Bagi seorang peserta yang juga guru bertugas di Langkawi, Azzuriyati Murni Abdullah, 47, berkata sembilan ahli keluarganya membayar kira-kira RM25,000 bagi menyertai pakej pelancongan dan umrah terbabit.

Katanya, apa yang menyedihkan apabila bapa dan bapa mentuanya sepatutnya menunaikan umrah melalui program berkenaan, namun kedua-duanya sudah meninggal dunia tanpa dapat ke Makkah.

"Kami tertarik menyertai pakej umrah ini kerana ditawarkan seorang guru besar, malah perjumpaan bagi peserta program turut pernah dibuat di sekolah tempat beliau bertugas sebelum ini.

"Kami reda sekiranya tidak dapat menunaikan umrah, tetapi saya harap bayaran dapat dipulangkan kerana ia adalah wang simpanan ahli keluarga yang dikumpul sejak sekian lama dan boleh diguna untuk tujuan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 2:34 PM