SAARANI (dari kiri), Arham dan Saidon.
SAARANI (dari kiri), Arham dan Saidon.
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad mendahului senarai 192 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Saarani adalah penerima tunggal Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Menyusulinya, adalah Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin yang dikurniakan Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu, Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk diberikan kepada 13 penerima.

Antara yang menerima DPMP ialah Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali; Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Mohamed Zaini Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Nor Sham Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman; Pakar Perunding Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr P N Jeyaseelan.

Turut dikurniakan DPMP adalah Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Abd Halim Ashaari; Pengarah Kastam Negeri Perak, Dr Mohamad Saprin; Ketua Bahagian Neurologi Universiti Malaya, Prof Dr Goh Khean Jin; Pengarah dan Pakar Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Norhayati Nordin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, The New Straits Times Press Berhad (NSTP), Saidon Idris.

DPMP turut dianugerahkan kepada Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop; Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Prof Dr Khalid Ismail dan Ketua Protokol dan Istiadat Negeri Perak, Senior Asisten Komisioner (B) Abu Bakar Romlee.

Empat individu menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman; Panglima Wilayah Laut 2 Markas Wilayah Laut 2 Pangkalan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) Sandakan, Laksamana Muda Rusli Ahmad.

Penerima DPTS lainnya adalah Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral A Felix Gonsalvez dan Pakar Perunding Bedah Ortopedik Hospital Angkatan Tentera Lumut, Brigadier Jeneral Dr Musa Kasmin.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, berkata siri pertama Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak tahun ini akan diadakan pada Ahad, 14 November ini di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar membabitkan masing-masing 19 penerima bagi 2020 dan 2021.

Katanya, jumlah penerima darjah kebesaran dan pingat tahun ini disifatkan masih terhad dengan hampir semua penerima dikenal pasti berusia 40 tahun ke atas selain hanya mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria ditetapkan mendapat perkenan Sultan Perak untuk beroleh pengurniaan.

Pelaksanaan istiadat pengurniaan tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat apabila penerima disyaratkan menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di premis kesihatan yang diiktiraf dalam tempoh tiga hari sebelum istiadat berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 7:03 AM