Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Mufti Perak Datuk Wan Zahidi Wan Teh, mendahului senarai 238 penerima Darjah Kebesaran serta Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Wan Zahidi adalah penerima Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri, selain darjah sama turut dikurniakan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Menyusuli dua individu itu adalah Panglima Angkatan Tentera ke-22, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, yang mana kedua-duanya dikurniakan Darjah Datuk Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang turut membawa gelaran Datuk Seri.

Pegawai Kewangan Negeri Perak Mohd Zaki Mahyudin menerima Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman adalah antara 13 individu yang dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Selain Ahmad Zaini, antara yang menerima DPMP adalah EXCO kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temengor Salbiah Mohamed, Pakar Kardiologi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Lee Boon Chye dan Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang turut membawa gelaran Datuk pula dikurniakan kepada lima penerima, antaranya Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan Kementerian Pertahanan Brigadier Jeneral Sr Dr Zambri Mohamad Radab dan Ketua Perhubungan Antarabangsa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Senior Asisten Komisioner R Suparamaniam.

Ernie Zakri
Ernie Zakri

Pada sidang media semalam, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, istiadat penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak tahun ini akan dibuat melalui dua sesi iaitu pada 5 November, bagi 24 penerima Darjah Kebesaran yang membawa gelaran.

Bagi penerima Darjah Kebesaran serta pingat selebihnya yang tidak membawa gelaran, istiadat penganugerahan akan dilangsungkan pada Sabtu, 18 November ini dengan kedua-dua sesi istiadat itu akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Sempena Hari keputeraan Sultan Nazrin, atas sifat prihatin dan ihsan baginda terhadap kebajikan banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di penjara, pusat koreksional dan pusat pemulihan akhlak di Perak, baginda menzahirkan perkenan bagi membiayai hidangan makanan tengah hari istimewa, hari ini, membabitkan 7,100 banduan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 12:43 PM