GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pelaksanaan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 20 peratus berkuat kuasa mulai semalam.

Inisiatif itu membabitkan empat kategori termasuk salah satunya pemberian diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

Pada masa sama, PTPTN turut menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang.

"Bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual bayaran balik juga diberikan kepada peminjam, selain diskaun lima peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

"Semua peminjam PTPTN termasuk yang dikenakan tindakan penguatkuasaan dan penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) juga layak menikmati insentif itu," katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Menurut PTPTN, peminjam yang ingin membuat penyelesaian penuh pinjaman atau sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang perlu membuat pengesahan baki pinjaman melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN di http://www.ptptn.gov.my.

"Peminjam terbabit juga boleh menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang disediakan.

"Peminjam yang sedang membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus layak mendapat diskaun 15 peratus secara automatik.

"Sementara peminjam yang ingin membuat potongan gaji atau debit terus pula boleh membuat permohonan melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN.

"Peminjam boleh memilih salah satu atau kedua-dua saluran untuk menikmati insentif ini," katanya.

Selain itu, diskaun lima peratus juga diberikan bagi bayaran balik yang dibuat melalui aplikasi myPTPTN.

"Peminjam boleh memuat turun aplikasi myPTPTN melalui App Store bagi pengguna iOS, Play Store bagi pengguna Android dan Huawei AppGallery.

"Bagi kemudahan pelaksanaan penangguhan bayaran balik pula, PTPTN memaklumkan semua peminjam yang dalam tempoh membayar balik dan mempunyai pendapatan bulanan kasar RM1,800 ke bawah layak memohon penangguhan kecuali peminjam yang menyertai program pengurusan hutang (DMP) di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi pinjaman PTPTN.

"Permohonan penangguhan boleh dibuat mulai 1 Mac melalui portal rasmi PTPTN," katanya.

Dalam kenyataan sama, PTPTN berkata, pihaknya akan memaklumkan status kelulusan melalui e-mel yang dikemaskini semasa peminjam membuat permohonan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan diterima.

"Peminjam yang diluluskan penangguhan, akan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik berkuat kuasa.

"Kos pentadbiran atau ujrah juga tidak dikenakan sepanjang tempoh penangguhan diberikan," katanya.

Katanya, insentif yang diberi menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyokong usahanya sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan kebajikan peminjam dan kelestarian dana pinjaman pendidikan untuk generasi akan datang.

"PTPTN menyambut baik insentif yang diberikan kepada peminjam PTPTN melalui pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Untuk pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN atau menghubungi PTPTN melalui saluran Careline PTPTN di 03-21933000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 4:11 PM