PEMBENTANGAN Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu memberikan manfaat kepada peminjam PTPTN melalui pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman. FOTO Arkib NSTP
PEMBENTANGAN Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu memberikan manfaat kepada peminjam PTPTN melalui pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melakukan pendekatan yang lebih mesra untuk membantu peminjam dengan melaksanakan insentif diskaun bayaran balik pinjaman bermula 1 November lalu hingga 30 April 2022.

PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lalu memberikan manfaat kepada peminjam PTPTN melalui pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman.

"Antara insentif diskaun diumumkan adalah 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

"Selain itu, terdapat diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual," katanya.

Menurutnya, antara pelaksanaan pemberian diskaun bayaran balik adalah membabitkan peminjam yang mahu membuat penyelesaian penuh pinjaman atau bayaran balik sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

"Mereka perlu mendapatkan pengesahan baki hutang melalui portal rasmi di www.ptptn.gov.my atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN.

"Seterusnya, bayaran balik boleh dibuat melalui mana-mana saluran bayaran balik yang disediakan oleh PTPTN.

"Bagi peminjam yang ingin membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui laman web rasmi PTPTN," katanya.

Bagi peminjam yang ingin membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus juga layak mendapatkan diskaun 10 peratus tertakluk kepada bayaran balik yang diterima oleh PTPTN mulai 1 November lalu hingga 30 April 2022.

"Insentif diskaun akan dikemaskini di dalam akaun pinjaman peminjam pada akhir setiap bulan dan peminjam boleh membuat semakan penyata masing-masing mulai 7 hari bulan pada bulan berikutnya.

"Insentif diskaun bayaran balik yang diumumkan ini akan memberi manfaat kepada 1.67 juta peminjam," katanya.

PTPTN memaklumkan pemberian insentif itu menunjukkan kerajaan dan pihaknya prihatin kepada peminjam terutamanya ketika pandemik Covid-19 masih melanda negara.

Pemberian insentif diskaun bayaran balik yang diumumkan ini diharapkan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh peminjam untuk tampil membuat bayaran balik lebih awal dan konsisten seterusnya membantu untuk memperkukuhkan kedudukan dana pinjaman PTPTN kepada generasi akan datang.

Selain itu, inisiatif #PTPTNSediaBantu diperkenalkan bagi memudahkan peminjam berurusan dan menyebar luas pelbagai saluran yang lebih mudah, cepat dan selamat serta membantu peminjam untuk memahami dan menggunakan saluran perhubungan PTPTN yang ada dengan berkesan.

Inisiatif murni ini disediakan dalam bentuk kemudahan untuk membantu dan memudahkan peminjam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau urusan berkaitan bayaran balik pinjaman.

Melalui kemudahan ini, peminjam boleh berhubung dengan barisan hadapan PTPTN yang sangat komited memberikan perkhidmatan terbaik dalam membantu menyelesaikan urusan atau menjawab persoalan melalui saluran yang disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 8:38 AM