Balai Polis Chaah yang tenggelam susulan air naik. FOTO AHMAD ISMAIL
Balai Polis Chaah yang tenggelam susulan air naik. FOTO AHMAD ISMAIL
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang EXCO Johor berkongsi pengalaman cemas dan menyedihkan ketika meninjau dan menghantar bantuan banjir di kawasan Chaah, Segamat, antara kawasan paling teruk terjejas banjir di negeri ini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Ling Tian Soon, berkata beliau menerima banyak panggilan kecemasan daripada ketua masyarakat di Chaah, selepas laluan keluar masuk ke pekan berkenaan terputus sepenuhnya berikutan ditenggelami banjir.

Katanya, masyarakat Chaah memaklumkan banjir di kawasan itu paling buruk dalam tempoh lebih 20 tahun menyebabkan hampir keseluruhan pekan selain Balai Polis Chaah tenggelam.

Beliau berkata, penduduk Chaah turut memaklumkan kawasan itu sebelum ini tidak pernah dilanda banjir seburuk itu, walaupun ketika bah besar melanda Johor pada 2006, kawasan itu tidak teruk terjejas berbanding semalam.

"Banjir kali ini penuh dengan kejutan. Semalam selepas melawat beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan saya di Yong Peng, saya bergegas ke Chaah selepas ketua masyarakat membuat panggilan kecemasan meminta bantuan kerana jalan utama keluar masuk terputus.

"Walaupun keadaan yang laluan berbahaya kerana ditenggelami air bah, namun kerana risau dengan keadaan mangsa banjir termasuk anggota keselamatan dan sukarelawan yang kesejukan, penat dan lapar, saya mengumpulkan sukarelawan dari Yong Peng bagi menghantar makanan.

"Saya berjaya mengumpulkan tujuh kenderaan pacuan empat roda dan bekalan makanan kering seperti roti, biskut serta minuman sebelum mula bergerak ke Chaah pada jam 6 petang.

"Namun setibanya kumpulan kami di Batu 3, Jalan Labis, laluan di situ ditutup dengan pegawai bertugas memaklumkan paras air tinggi dan bahaya untuk direntasi," katanya ketika dihubungi.

Oleh kerana, tidak mahu menghampakan dan membiarkan penduduk Chaah begitu sahaja, Ah Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, mereka nekad merentas air bah di laluan itu.

"Berikutan arus tidak begitu kuat, kami dapat rentas namun di perhentian kedua di Kampung Desa Temu Jodoh, aras air lebih tinggi dan deras.

"Selepas berbincang, akhirnya kami rentas dengan kereta paling besar di depan dengan kami merentas air bah secara berhati-hati sebelum akhirnya selamat tiba di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bali.

"Petugas dan sukarelawan di situ memaklumkan PPS SMK Seri Bali ada lebih 2,000 mangsa banjir yang berlindung dalam keadaan tiada bekalan elektrik.

"Mereka kekurangan makanan dan minuman dan hanya menggunakan lilin sebagai lampu dan duduk di satu kawasan," katanya.

Ah Soon berkata, mangsa banjir ditemui memaklumkan Chaah tidak pernah menerima hujan lebat yang begitu luar biasa dan tidak berhenti sehingga dua hari, sebelum ini.

"Saya bersyukur, hari ini air bah di laluan keluar masuk ke Chaah sudah mulai surut dengan lebih banyak bantuan dilaporkan dapat dibawa masuk bagi membantu mangsa banjir di sana," katanya.

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 12:46 PM