Ahmad Ismail


Segamat: Operasi banjir di kawasan Chaah di sini yang terjejas banjir diambil alih oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Chaah apabila BBP Labis terputus hubungan Jalan Labis-Chaah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhamad Hafifie Md Sarif berkata, BBP Labis masih dapat menjalankan operasi di kawasan sekitar Labis dengan dua pasukan digerakkan ke kawasan terjejas.

"Kita terpaksa akur dengan kejadian alam dan dengan sokongan dari BBP Yong Peng dan PBS Chaah, misi menyelamat di kawasan Chaah masih berjalan lancar.

"Hujan lebat menyebabkan banyak kawasan dinaiki air dan jumlah mangsa yang terperangkap terus meningkat.

"Kerja-kerja penyelamatan di kawasan terjejas banjir masih dijalankan. Kampung Tenang, Pekan Air Panas dan Kampung Juaseh terputus hubungan kerana jalan raya dinaiki air.

"Paras air dengan kedalaman satu meter di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin dan hanya boleh dilalui kenderaan berat saja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Hafifie berkata, situasi banjir di Bandar Labis serta beberapa perumahan dinaiki air dengan kedalaman yang sama.

PKO Labis dibahagi kepada dua pasukan iaitu pasukan A dan pasukan B dengan kekuatan seramai 15 anggota.

Seawal 4 pagi tadi, seramai 209 keluarga dan 746 mangsa dipindahkan ke enam PPS di sekitar Labis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 11:07 AM