PENDUDUk  Kampung Tenang mencuci kediaman mereka selepas dinaiki air susulan banjir.FOTO Bernama
PENDUDUk Kampung Tenang mencuci kediaman mereka selepas dinaiki air susulan banjir.FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 4,532 orang daripada 1,247 keluarga di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah terjejas, setakat jam 12 tengah hari ini.

Ia berbanding seramai 4,868 orang daripada 1,331 keluarga di 50 PPS di lapan daerah terjejas, jam 8 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata penurunan jumlah mangsa banjir disebabkan cuaca cerah di hampir kesemua daerah pagi tadi menyebabkan beberapa PPS di beberapa daerah mulai ditutup tengah hari ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, cuaca cerah menyebabkan satu-satunya PPS di daerah Pontian membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya dengan 18 mangsa daripada empat keluarga, ditutup sepenuhnya tengah hari ini.

Katanya, cuaca cerah menyebabkan hanya tujuh daerah kini masih terjejas banjir berbanding lapan sebelum ini, dengan beberapa PPS di Segamat dan Muar ditutup.

"Mersing kekal menjadi daerah paling terjejas dengan 1,792 mangsa daripada 511 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS. Mangsa banjir Kluang juga kekal dengan 1,173 mangsa daripada 321 keluarga berlindung di tujuh PPS, tengah hari ini.

"Mangsa banjir di Kota Tinggi menurun sedikit kepada 897 mangsa daripada 223 keluarga di 11 PPS. Segamat menunjukkan trend penurunan dengan kini hanya 278 mangsa banjir daripada 83 keluarga berlindung di sembilan PPS, tengah hari ini.

"Bagaimanapun mangsa banjir di Batu Pahat kekal seramai 358 penduduk daripada 100 keluarga di enam PPS. Muar turut kekal dengan 121 mangsa banjir daripada 29 keluarga yang berlindung di dua PPS.

"Begitu juga Tangkak turut kekal dengan 15 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Durian Chondong, di Kampung Pengkalan Kota," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, sebanyak tiga laluan utama negeri ini ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan masing-masing satu di Mersing, Segamat dan Kulai.

Katanya, laluan yang ditutup sepenuhnya di Mersing membabitkan Jalan Tanah Abang (J228) yang ditenggelami air banjir 0.50 meter.

"Laluan yang ditutup sepenuhnya di Segamat pula adalah Jalan FELDA Medoi (FT1384) kerana dinaiki air bah sedalam 0.95 meter.

"Jalan Sungai Tiram-Ulu Tiram (J08) di Kulai juga masih kekal ditutup kerana kejadian tanah runtuh berketinggian 12 meter di situ sekali gus tidak selamat digunakan," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, empat sungai utama di negeri ini terus berada pada tahap bahaya membabitkan dua di Segamat dan masing-masing satu di Kluang dan Mersing.

"Sungai Muar, di Segamat mencatatkan paras bahaya 19.06 meter tengah hari ini, begitu juga lembangan Sungai Batu Pahat di Ladang Chaah, Segamat, pula mencatatkan paras bahaya 6.35 meter.

"Lembangan Sungai Endau di Kampung Contoh, Kluang, pula mencatatkan paras bahaya 15.36 meter tengah hari ini manakala Sungai Endau di Mersing turut merekodkan paras bahaya sedalam 2.79 meter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 12:57 PM