LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat kepada 4,868 orang daripada 1,331 keluarga di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah terjejas, setakat jam 8 pagi ini.

Ia berbanding hanya seramai 4,842 mangsa daripada 1,318 keluarga ditempatkan di 48 PPS, jam 10 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Mersing kini menjadi daerah paling terjejas dengan 1,793 mangsa daripada 512 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS, pagi ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Tangkak adalah daerah terbaru dan kelapan terjejas banjir di negeri ini dengan 15 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Durian Chondong, di Kampung Pengkalan Kota, awal pagi tadi.

"Kluang pula menjadi daerah kedua paling terjejas banjir dengan 1,173 mangsa daripada 321 keluarga berlindung di tujuh PPS, pagi ini diikuti Kota Tinggi dengan 900 mangsa daripada 224 keluarga di 11 PPS.

"Segamat pula menunjukkan trend penurunan dengan 490 mangsa banjir daripada 138 keluarga berlindung di 11 PPS pagi ini, diikuti dengan Batu Pahat seramai 358 penduduk daripada 100 keluarga di enam PPS.

"Muar pula mencatatkan seramai 121 mangsa banjir daripada 29 keluarga yang berlindung di dua PPS, manakala Pontian kekal dengan 18 mangsa daripada empat keluarga yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya," katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Dalam pada itu, Azmi meminta masyarakat negeri ini kekal berhati-hati berikutan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di enam daerah negeri ini.

Katanya, enam daerah yang diramalkan mengalami hujan berterusan tahap waspada itu membabitkan Mersing, Kluang, Segamat, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Azmi berkata, sebanyak lima laluan utama negeri ini ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan masing-masing dua di Mersing dan Segamat serta satu di Kulai.

Katanya, dua laluan yang ditutup sepenuhnya di Mersing membabitkan Jalan Nitar Timur - Pengkalan Batu (FT1425) yang dinaiki air bah dan Jalan Tanah Abang (J228) yang ditenggelami air banjir 0.5 meter.

"Dua laluan yang ditutup sepenuhnya di Segamat pula adalah Jalan Felda Medoi (FT1384) kerana dinaiki air sedalam 0.95 meter manakala Jalan Jabi - Bukit Tempurung (J156) ditenggelami air banjir sedalam 0.81 meter.

"Jalan Sungai Tiram-Ulu Tiram (J08) di Kulai masih kekal ditutup kerana kejadian tanah runtuh setinggi 12 meter di situ sekali gus tidak selamat digunakan," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, empat sungai utama di negeri ini terus berada pada tahap bahaya membabitkan dua di Segamat dan masing-masing satu di Kluang dan Mersing.

"Sungai Muar, di Segamat mencatatkan paras bahaya 19.08 meter pagi ini, begitu juga lembangan Sungai Batu Pahat di Ladang Chaah, Segamat, pula mencatatkan paras bahaya 6.43 meter.

"Lembangan Sungai Endau di Kampung Contoh, Kluang, pula mencatatkan paras bahaya 15.42 meter pagi ini manakala Sungai Endau di Mersing turut merekodkan paras bahaya sedalam 2.83 meter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 8:51 AM