Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan Negeri memberi impak positif dalam pemuliharaan flora dan fauna negara melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi yang dilancarkan pada suku tahun ketiga 2019 itu berjaya menonjolkan aspek penguatkuasaan amat efektif sepanjang OBK dilaksanakan

Katanya, pada masa sama, ia turut dibuktikan dengan kejayaan-kejayaan signifikan sepanjang operasi berkenaan berlangsung.

"Usaha dan kerja keras khususnya Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) juga berjaya menubuhkan satu lagi elemen baharu dalam pasukan iaitu Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WBC).

"Justeru, diharap dengan penubuhan WCB dapat membuka mata banyak pihak bahawa jenayah alam sekitar juga perlu diberikan perhatian selain tindakan penguatkuasaan yang proaktif selari dengan jenayah-jenayah konvensional dan bukan konvensional lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Penutup Op Bersepadu Khazanah Siri 02/2023 dan Ujian Ronda Pandu Arah Peringkat Briged Tenggara PGA 2023 di Pusat Latihan Perhutanan Bukit Bakar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Hasnan Yusop.

Terdahulu, tiga pegawai kanan dan 36 pegawai rendah Briged Tenggara PGA menamatkan Operasi Bersepadu Khazanah Siri 2/2023 bermula 8 Februari lalu sehingga hari ini.

Razarudin berkata, PDRM amat mengharapkan kerjasama daripada Perhilitan dan Jabatan Perhutanan Negeri bagi melindungi khazanah negara serta bersama-sama memerangi jenayah hidupan liar khususnya di Kelantan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, ujian Ronda Pandu Arah (RPA) sepanjang operasi berkenaan mampu menguji kecekapan peserta menilai bentuk muka bumi menggunakan peralatan selain kemahiran merancang perjalanan dan bergerak dengan tepat berdasarkan arah yang diberikan.

"Saya yakin peserta dapat mempamerkan kecekapan dan kemahiran pandu arah masing-masing bagi mengungguli ujian yang diadakan di kawasan berkeluasan lebih kurang empat kilometer meliputi laluan hutan berbukit-bukit, anak sungai dan denai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 2:42 PM
Razarudin (tengah) menyampaikan sijil kepada peserta dalam Majlis Perasmian Penutup Op Bersepadu Khazanah Siri 02/2023 Dan Ujian Ronda Pandu Arah Peringkat Briged Tenggara PGA 2023 di Pusat Latihan Perhutanan Bukit Bakar. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Razarudin (tengah) menyampaikan sijil kepada peserta dalam Majlis Perasmian Penutup Op Bersepadu Khazanah Siri 02/2023 Dan Ujian Ronda Pandu Arah Peringkat Briged Tenggara PGA 2023 di Pusat Latihan Perhutanan Bukit Bakar. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI