Oleh Samadi Ahmad


Sepang: Sorakan dan tepukan gemuruh mengiringi 35 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kumpulan pertama (MAS-01) yang tiba dari Lapangan Terbang Gazientep di Turkiye hari ini.

Kumpulan penyelamat itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.20 tengah hari dengan penerbangan Turkiye Airline.

Mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Turut hadir, Duta Turkiye di Malaysia, Emir Salim Yuksel.

Selain itu, turut menyambut kepulangan pasukan ini adalah ahli keluarga dan kakitangan kedutaan Turkiye bersama ahli keluarga di Malaysia.

Mereka turut memberikan bunga kepada setiap anggota bagi menzahirkan ucapan terima kasih atas bantuan diberikan Kerajaan Malaysia membantu rakyatnya yang berhadapan gempa bumi.

Armizan berkata, kumpulan penyelamat itu adalah kumpulan pertama tiba bersama tiga petugas media.

Manakala, kumpulan kedua akan tiba pada jam 5 petang ini membabitkan 30 orang membabitkan anggota pelbagai agensi iaitu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, 70 anggota kumpulan pertama MAS-01 bersama lima anggota kumpulan kedua MAS-10 yang masih berada di Turkiye dijangka pulang dalam masa terdekat.

Katanya, untuk rekod, keanggotaan bagi dua kumpulan SAR MAS-01 dan MAS-10 adalah seramai 140 orang selain membabitkan dua ekor anjing pengesan (K9).

"Pasukan penyelamat Malaysia menjalankan misi SAR di Gaziantep bermula 8 Februari lalu sehingga Kerajaan Turkiye mengumumkan operasi memasuki fasa pemulihan dengan berdepan cuaca sejuk di bawah - 9 Celsius pada waktu malam dan - 3 Celsius pada siang hari," katanya kepada pemberita di KLIA, di sini, hari ini.

Selain operasi SAR, pasukan ini turut terlibat membantu kerja pemasangan khemah perlindungan untuk mangsa yang terkesan.

Sebelum pulang ke tanah air, semua anggota yang terlibat perlu melalui proses demobilisasi iaitu penamatan penugasan secara berperingkat dan selepas itu dikehendaki menjalani rehabilitasi sehari di Istanbul melibatkan pemeriksaan kesihatan sebelum berlepas pulang ke Malaysia.

Armizan berkata, secara keseluruhan, penugasan pasukan SAR berjalan lancar sepanjang operasi bermula daripada fasa rapid SAR seterusnya ke fasa secondary SAR dengan penggunaan peralatan khas seperti unit pengesanan, unit pemotongan, pengimbas pergerakan, kamera carian, alat hazmat dan anjing pengesan.

Menurutnya, bagi

fasa seterusnya adalah 'full of coverage'dengan penggunaan jentera berat seperti excavator dan lain-lain peralatan bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

Katanya,kejayaan dapat menyelamatkan limamangsa yang masih hidup adalah tugasan paling bermakna buat anggota penyelamat Malaysia yang terlibat dalam misi iniselain berjaya mengeluarkan 47 mangsa yang telah meninggal dunia di bawah runtuhan.

"Selain berdepan cuaca sejuk pasukan penyelamat negara turut berdepan , koordinasi logistik dan pengangkutan serta penggunaan bahasa untuk berkomunikasi,"katanya.

Armizan menambah,

walaubagaimanapunkesemua cabaran ini dapat ditangani dengan bantuan pihak Kedutaan Malaysia yang menyediakan jurubahasa bagi membolehkan komunikasi bersama pihak berkuasa tempatan dapat berjalan dengan lancar.

Menurutnya, pasukan penyelamat turut berdepan kekangan keperluan bantuan logistik dan berjaya diselaraskan oleh pihak Local Emergency Management Agency (LEMA) dan kerjasama pihak Disaster and Emergency Management Presidency (AFAD) Turkiye.

Katanya, sepanjang operasi petugas SAR Malaysia turut berhadapan dengan masalah kesihatan kerana terdapat sembilan anggota mengalami seperti demam, kecederaan bahu dan lutut dan semuanya telah pulih selepas mendapat rawatan dari pasukan perubatan selain seorang menerima rawatan lanjut di hospital

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 4:18 PM