RAMKARPAL Singh. FOTO Arkib NSTP.
RAMKARPAL Singh. FOTO Arkib NSTP.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggubal satu akta baharu bersifat sementara yang akan memanfaatkan 840 banduan akhir yang menjalani hukuman mati.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, kerajaan yakin pindaan perundangan membabitkan polisi penghukuman dan penggantian terhadap hukuman mati mandatori itu menunjukkan perubahan positif kepada sistem keadilan jenayah di Malaysia.

Langkah ini katanya, menjadikan sistem keadilan lebih holistik dan inklusif demi manfaat bersama serta tidak menafikan hak asasi individu untuk mendapat keadilan sewajarnya.

"Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggubal satu akta baharu bersifat sementara yang akan memberi impak secara terus kepada 840 orang (banduan) yang menjalani moratorium pelaksanaan hukuman mati daripada 1,320 orang banduan hukuman mati.

"Baki 480 orang banduan daripada jumlah itu akan melalui proses rayuan seperti biasa.

"Selain itu, pelaksanaan polisi penghukuman dan hukuman gantian ini juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk sentiasa terbuka ke arah pembaharuan dan penambahbaikan sistem perundangan dan keadilan di negara ini serta memastikan kemaslahatan masyarakat umumnya menjadi keutamaan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau-PH) mengenai perkembangan terkini kerajaan dalam menghapuskan hukuman mati dan status 1,300 banduan yang menunggu pelaksanaan hukuman mati.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan berprinsip hukuman mati mandatori wajar dimansuhkan manakala mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati berdasarkan tahap serius kesalahan yang dilakukan dengan mengambil kira keadaan tertentu (circumstances).

"Pada ketika ini, semakan dan penelitian terhadap peruntukan akta berkaitan, dengan mengambil kira syor daripada Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dan pandangan kementerian, jabatan atau agensi berkepentingan sedang dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara.

"Ia untuk memastikan penetapan dasar terbaik berkaitan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori dengan mengambil kira aspek pemerkasaan hak asasi manusia selain mempertimbangkan kos pengurusan banduan di penjara seluruh negara serta pelaksanaan restorative justice di Malaysia," katanya.

Secara umumnya, katanya, pelaksanaan dasar hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori dan tujuh kesalahan dengan hukuman tertakluk budi bicara mahkamah dijangka membabitkan pindaan peruntukan beberapa akta.

"Ia membabitkan Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] dan Akta Senjata 1960 [Akta 206].

"Akta lain terbabit ialah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan Akta Penculikan 1961 [Akta 365]," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 4:30 PM