GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Jabatan Penjara Malaysia merekodkan 31 pesalah kanak-kanak dikategorikan sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS), setakat 11 Oktober lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semua tahanan ini layak membuat semakan hukuman melalui Laporan Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Katanya, TLS ini juga boleh mengemukakan petisyen kepada Lembaga Pengampunan Negeri di bawah Peraturan 113, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga bertanggungjawab mengemukakan Laporan Lembaga Hakim Pelawat kepada Urus setia Lembaga Pengampunan Negeri sekurang-kurangnya setahun sekali bagi permohonan pengampunan untuk TLS.

"Pada 13 Oktober 2023, satu mesyuarat dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) bersama KDN, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Penjara Malaysia bagi meneliti dan membincangkan mengenai perkara ini secara lanjut," katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen Malaysia.

Beliau menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 terpakai kepada pesalah kanak-kanak yang dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan sekiranya tidak terpakai, apakah langkah dan cadangan yang diambil bagi menyelaraskan perkara ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) berkuat kuasa pada 4 Julai lalu, manakala Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan)2023 (Akta 847) berkuat kuasa pada 12 September lalu.

"Bagaimanapun, kedua-dua akta ini tidak terpakai kepada pesalah kanak-kanak yang dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dikategorikan sebagai TLS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 10:14 AM