GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Majlis Peguam Malaysia menggesa kerajaan mengecualikan pelaksanaan hukuman mati terhadap lebih 1,359 banduan akhir yang sedang menunggu hukuman itu dijalankan sejak 2018.

Ia susulan keputusan kerajaan kelmarin yang bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn menyarankan kerajaan meringankan hukuman kepada banduan akhir berkenaan dengan menukarnya kepada hukuman penjara.

"Majlis Peguam menggesa kerajaan bekerjasama dengan Lembaga Pengampunan untuk memastikan lebih 1,359 banduan akhir turut dikecualikan daripada menjalani hukuman mati.

"Kami menyarankan semua hukuman mati itu dikurangkan kepada hukuman penjara dengan tempohnya bergantung pada keseriusan kesalahan yang dilakukan.

"Selain itu, pelaksanaan hukuman perlu mengambil kira faktor meringan dan situasi berbeza bagi setiap kes supaya hukuman yang dijatuhkan adalah adil dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan persetujuan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori, susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada Mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu lalu.

Katanya, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penelitian dan kajian lanjut berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), serta 22 kesalahan yang membawa hukuman mati, tetapi dengan budi bicara mahkamah.

Mengulas lanjut, Yee Lynn berkata, Majlis Peguam menyambut baik keputusan kerajaan, namun menggesa pindaan perundangan bagi menggantikan hukuman mati mandatori dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelak pertambahan lebih ramai pesalah dijatuhkan hukuman mati.

Pada masa sama, beliau berharap kerajaan terus bergerak ke hadapan dengan memansuhkan hukuman mati sepenuhnya daripada undang-undang negara, selaras ikrar yang dinyatakan kerajaan pada 10 Oktober 2018.

"Keputusan kerajaan adalah tepat dan berada di landasan yang betul, namun masih banyak yang perlu dilaksanakan bagi memastikan hukuman mati dimansuhkan sepenuhnya.

"Dalam konteks masyarakat maju, kita perlu memberi fokus pada rehabilitasi dan pemulihan, kerana tidak banyak yang dicapai melalui hukuman penalti selain memenuhi kehendak hukuman balas," katanya.

Pada 2018, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), mendiang Datuk Liew Vui Keong mengumumkan mandatori pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan yang ketika itu membabitkan 1,278 banduan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 7:00 AM