SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka satu kertas siasatan terhadap stesen televisyen, Awesome TV kerana kegagalan mematuhi syarat lesen.

SKMM pada kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius terhadap aduan pengguna dan komited dalam usaha mempertingkat tahap pematuhan pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I) supaya kandungan yang disiarkan mencerminkan budaya, identiti dan norma masyarakat.

"Ia selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) dan Kod Kandungan.

"Setiap aduan yang diterima akan diteliti berdasarkan peruntukan AKM 1998, peraturan yang berkaitan di bawahnya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya hari ini.

Sebelum ini, Awesome TV didakwa menerbitkan laporan berita berhubung isu pengurangan 800,000 kakitangan awam yang kemudian disangkal Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebagai fitnah serta tidak benar.

Dalam kenyataan itu juga, SKMM mengesahkan sudah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Awesome TV semalam, untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

"Satu kertas siasatan akan dibuka oleh SKMM di bawah Seksyen 206 AKM 1998 iaitu kegagalan mematuhi syarat lesen.

"Apabila kertas siasatan dilengkapkan, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut.

"Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 242 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 12:34 PM