KHEMAH berukuran tujuh meter persegi yang diibaratkan ‘syurga’ buat pelarian Syria.
KHEMAH berukuran tujuh meter persegi yang diibaratkan ‘syurga’ buat pelarian Syria.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Hatay: Itulah dapur, bilik tidur, ruang tamu dan tempat bermain. Begitu keadaan khemah berukuran tujuh meter persegi yang diibaratkan 'syurga' buat pelarian Syria yang terlepas daripada konflik berdarah sejak setahun lalu.

Biarpun begitu, kebanyakan pelarian yang ditemui tetap menyatakan syukur kerana terlepas daripada zon peperangan yang lebih teruk daripada keadaan kem pelarian.

Keadaan serba daif mereka sangat menyayat hati terutamanya bagi keluarga yang mempunyai bilangan ahli ramai.

Ini disebabkan mereka terpaksa berhimpit untuk tidur dan melakukan aktiviti di bawah khemah kecil berkenaan, malah keadaan lebih mendesak ketika tengah hari dengan cuaca panas yang membahang.

Suhu musim panas di sekitar Wilayah Hatay mampu mencecah 38 darjah selsius dan apa yang mampu dilakukan oleh pelarian Syria ini adalah keluar berteduh di bawah pokok-pokok di sekitar kem berkenaan.

Penulis melihat sendiri suasana menyedihkan di dalam khemah berkenaan dan pelarian Syria ini sangat memerlukan bantuan makanan asas untuk meringankan beban mereka.

Prihatin terhadap keadaan itu, Muslim Care Malaysia (MCM) menghulurkan bantuan berupa pek makanan kepada penghuni pelarian Syria.

Orang awam yang mahu menyalurkan bantuan boleh melakukan transaksi menerusi akaun Maybank 564490413882 atau melayari Facebook (FB) rasmi Muslim Care Malaysia Society.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), terdapat lebih 3.5 juta pelarian Syria berada di Turkiye terutama di beberapa bandar berhampiran dengan sempadan.

Penulis turut melihat di dua daerah utama iaitu Belen dan Iskenderun, terdapat ribuan khemah didirikan oleh pihak berkuasa sebagai penempatan sementara susulan bencana gempa bumi.

Kebanyakan pelarian Syria di kem berkenaan mengharapkan bantuan serta ihsan orang awam khususnya untuk makanan asas.

Sebelum ini, lokasi penempatan pelarian Syria di sekitar bandar sempadan antaranya Hatay, Reyhanli dan beberapa lokasi lain.

Pelarian Syria ini melarikan diri daripada konflik berdarah yang melanda negara berkenaan sejak 2013 dan kebanyakkannya dari lokasi peperangan seperti Aleppo, Ghouta dan Damsyik.

ZULKIFLI menghulurkan sumbangan kepada pelarian Syria di Hatay.
ZULKIFLI menghulurkan sumbangan kepada pelarian Syria di Hatay.

'Pelarian Syria di Turkiye masih perlukan bantuan'

"Jangan lupakan pelarian Syria, mereka masih memerlukan bantuan khususnya bekalan makanan dan keadaan mereka tambah menyedihkan selepas bencana gempa bumi, beberapa bulan lalu."

Itu rayuan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Zulkifli Wahijan supaya nasib serta penderitaan pelarian Syria di Turkiye terbela dan mendapat bantuan sewajarnya.

Sejajar dengan itu, MCM menghulurkan bantuan sebanyak 148 pek makanan asas dianggarkan berjumlah lebih RM10,000 untuk pelarian Syria di kem penempatan sementara sekitar Bandar Belen di dalam Wilayah Hatay termasuk rakyat Turkiye yang terjejas akibat bencana sama.

Jumlah ini adalah sebahagian daripada RM200,000 bantuan keseluruhan dalam misi kelima MCM kali ini.

Zulkifli berkata, sejak lebih sedekad lalu, MCM sentiasa berusaha menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan khususnya mangsa perang atau konflik berdarah di sesebuah negara.

Menurutnya, sebagai pemegang amanah daripada penyumbang, pihaknya perlu menyerahkan sumbangan kepada golongan sasar dengan kaedah paling efektif dan memberi manfaat paling optimum.

"Pada kali ini, kami menyantuni pelarian Syria yang terjejas akibat gempa bumi termasuk rakyat Turkiye sendiri dan keadaan mereka memerlukan bantuan secara berterusan.

"Jika dibandingkan antara dua kem itu, kem pelarian rakyat Syria lebih menyedihkan kerana khemah diperbuat daripada kanvas itu hanya berukuran tujuh meter persegi saja manakala untuk rakyat Turkiye, ia lengkap dibina dengan kabin serta kemudahan asas lain.

"Apabila melihat dua keadaan ini, jadi saya merasakan bahawa keperluan yang lebih untuk menyantuni pelarian rakyat Syria," katanya.

PELARIAN Syria di Hatay gembira menerima bantuan daripada MCM
PELARIAN Syria di Hatay gembira menerima bantuan daripada MCM

Walau daif harap dapat pulang ke negara asal

Biarpun dihimpit dengan kesempitan wang, kedaifan tempat tinggal serta hidup dalam kekurangan, pelarian Syria tetap menzahirkan rasa kesyukuran dengan apa yang ada.

Kebanyakan pelarian Syria ini sudah berada di negara ini sejak tercetusnya konflik berdarah di negara terbabit sehingga memaksa mereka meninggalkan kampung halaman demi menyelamatkan nyawa.

Bagi Omar Abdullah, 60, dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengambil upah melakukan pelbagai kerja.

"Boleh dikatakan kebanyakan hari saya tidak mempunyai pendapatan dan hanya mengharapkan sumbangan orang awam atau badan-badan kebajikan yang datang menghulurkan bantuan.

"Alhamdulillah, saya tetap bersyukur biarpun hidup dalam serba kekurangan, ini ujian untuk kami dan rakyat Syria.

"Mungkin satu hari nanti jika Syria kembali aman, kami semua akan pulang kembali ke negara asal biarpun tiada apa lagi (infrastruktur) di sana," katanya.

Katanya, semua rakyat Syria berharap dapat kembali ke negara sendiri jika keadaan kembali tenang dan tiada pertumpahan darah yang boleh mengancam nyawa.

Seorang lagi pelarian Syria, Osman Ali, 50, menyatakan dia tinggal bersama lima ahli keluarganya di kem sementara berkenaan selepas bencana gempa bumi memusnahkan rumah mereka tidak jauh daripada lokasi kem berkenaan.

"Rumah kami rosak teruk, namun Alhamdulillah kami masih selamat, cuma hilang tempat tinggal.

"Kami sangat memerlukan barangan asas khususnya makanan kerana kebanyakan penghuni kem ini mempunyai anak-anak kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 7:10 AM