WARTAWAN Harian Metro, Hafidzul Hilmi Mohd Noor diundang ke studio MHI bagi berkongsi pengalamannya membuat liputan pasca gempa bumi di Turkiye.
WARTAWAN Harian Metro, Hafidzul Hilmi Mohd Noor diundang ke studio MHI bagi berkongsi pengalamannya membuat liputan pasca gempa bumi di Turkiye.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Memang mendebarkan namun saya cuba sempurnakan tugas sebagai wartawan iaitu menyampaikan maklumat terus kepada rakyat Malaysia," Demikian perkongsian wartawan Harian Metro, Hafidzul Hilmi Mohd Noor yang diundang untuk ke studio Malaysia Hari Ini (MHI), hari ini bagi berkongsi pengalamannya ketika membuat liputan pasca gempa bumi yang menggegarkan Turkiye pada 6 Februari lalu.

Menurut Hafidzul, banyak pengalaman menyentuh hati yang tidak dapat dilupakan ketika berada di kawasan bencana antaranya ketika bertemu empat mata dengan keluarga mangsa.

"Salah satunya adalah ketika di bandar Antakya iaitu salah satu kawasan bencana. Di situ, saya dan jurugambar, Aizuddin Saad bersama sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) dibenarkan Agensi Bencana Keselamatan Turkiye untuk masuk ke kawasan bencana.

"Ketika masuk (di kawasan bencana), saya tengok banyak keluarga duduk di tepi bangunan runtuh mencari dan menanti. Saya cuba dekati satu keluarga untuk bertanya apa yang mereka tunggu.

"Dia (keluarga) beritahu tengah tunggu salah seorang anak di sebalik runtuhan dan minta saya cari bantu carikan.

"Memang meruntun jiwa kerana selepas itu, ada beberapa lagi datang kepada saya untuk minta bantu carikan ahli keluarga mereka yang tertimbus," katanya.

Menurut Hafidzul, debaran untuk menjalankan tugas sebenarnya mula dirasa sejak menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Adana, Turkiye.

"Saya tiba di sana Istanbul pada 8 Februari dan daripada situ dan kemudian terus Lapangan Terbang Adana. Di Adana (Lapangan Terbang Adana), kami bersama pasukan penyelamat pelbagai negara dan pada waktu itu lagi sudah terasa debarannya.

"Dari situ, kami dibawa ke wilayah terkesan iaitu Iskenderun dan Antakya sebelum ke bandar lain iaitu Reyhanli juga Kirikhan.

"Di Iskenderun lagi saya sudah menyaksikan kemusnahan besar tetapi tugas perlu wartawan menuntut saya cepat berfikir dan bertindak jadi cuba tenangkan diri, tengok kawasan sekitar kemudian atur rancangan satu persatu," katanya.

Dalam mendapatkan bahan berita, Hafidzul Hilmu mengakui berdepan banyak sepanjang tujuh hari membuat liputan di kawasan bencana.

Katanya, antara cabaran besarnya adalah komunikasi kerana kebanyakan penduduk Turkiye tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris sementara di selatan menggunakan bahasa Arab.

"Cabaran lain adalah perbezaan masa kerana di sana, lewat lima jam jadi agak tergesa-gesa untuk menghantar bahan (berita) ke sini.

"Perlu ada perancangan kerana di kawasan bencana keadaan tidak menentu. Ia termasuk pengangkutan kerana segalanya boleh berubah jadi perlu rancang betul untuk salurkan bahan

ke Malaysia.

"Satu lagi cabaran adalah cuaca kerana di sana sangat sejuk malah suhu mencecah negatif 7 darjah Celcius jadi untuk menaip satu bahan pun sangat mencabar tetapi terpaksa jadikannya sebagai kebiasaan demi siapkan tugas," katanya.

Menurut Hafidzul Hilmi,pengalaman lain yang tidak dapat dilupakannya adalah ketika kenderaan dinaikinya dan jurugambar dikejar pihak berkuasa.

"Ada satu kejadian berlaku di bandar Kirihan. Ketika itu, saya dan jurugambar cuba mengambil visual daripada dalam kereta tetapi tidak peka video diambil adalah mayat bergelimpangan.

"Akibatnya, pihak berkuasa berkuasa mengejar kenderaan kami kemudian beritahu mengenai larangan mengambil gambar mayat jadi kami buang serta merta (gambar dan video).

"Kita juga faham soal sensitiviti cuma terlepas pandang dan di sana, cara menemubual juga berbeza kerana nak menjaga emosi.

"Bagi saya, kena ada satu pendekatan yang berbeza untuk buat liputan di kawasan bencana kerana mereka ditimpa musibah, kita pula sibuk nak melaporkan tetapi itulah cabarannya,"

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 3:34 PM