KEMALANGAN tiga kenderaan yang mengakibatkan dua wanita maut. FOTO Ihsan Bomba
KEMALANGAN tiga kenderaan yang mengakibatkan dua wanita maut. FOTO Ihsan Bomba
Meor Riduwan Meor Ahmad


Jasin: Dua wanita terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kampung Sri Mawar, Sekam, di sini, pagi tadi.

Difahamkan kedua-dua mangsa adalah pekerja sebuah kilang elektronik di Batu Berendam.

Komander Operasi dari Balai Bomba Bukit Katil Mohamad Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 7.45 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi, terdapat kemalangan membabitkan kereta Toyota Altis, Nissan Almera dan motosikal Yamaha Y15.

"Empat mangsa iaitu dua wanita menaiki Nissan Almera meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua lagi mangsa lelaki cedera membabitkan pemandu Toyota Altis dan penunggang motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 9:55 AM