KEADAAN dua kereta yang terbabit kemalangan di Lebuh AMJ menghala ke Rembia, di sini, hari ini. FOTO JBPM Melaka.
KEADAAN dua kereta yang terbabit kemalangan di Lebuh AMJ menghala ke Rembia, di sini, hari ini. FOTO JBPM Melaka.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Empat individu termasuk bayi berusia tujuh bulan cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) menghala ke Rembia, di sini, hari ini.

Nahas berlaku kira-kira jam 7 malam itu membabitkan kereta Proton Saga FLX dan Perodua Bezza.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1, Nazri Mat Rais berkata, sepasukan 11 anggota bersama dua jentera termasuk dari Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 7.04 malam.

"Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 33 tahun tersepit di dalam Perodua Bezza dan berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke Hospital Melaka (HM) menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

"Tiga mangsa lain iaitu wanita berusia 30 dan 34 tahun serta bayi berusia tujuh bulan yang belum dikenal pasti jantinanya serta cedera di kepala, dibawa dengan jentera EMRS ke hospital sama," katanya dalam kenyataan di sini.

Nazri berkata, pihaknya difahamkan kereta Perodua Bezza dipandu lelaki terbabit menghala ke Alor Gajah, manakala Proton Saga FLX menghala ke Melaka.

Difahamkan tayar kereta Bezza pecah dan terbabas ke lorong sebelah lalu berlanggar dengan Proton Saga FLX, dan siasatan lanjut akan dijalankan pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 9:28 PM