SEBANYAK 30kg minyak masak paket 1kg bersubsidi yang dirampas di atas jalan raya di Kampung Delima dan sitaan dibuat dengan nilai dianggarkan sebanyak RM75. FOTO IHSAN KPDN
SEBANYAK 30kg minyak masak paket 1kg bersubsidi yang dirampas di atas jalan raya di Kampung Delima dan sitaan dibuat dengan nilai dianggarkan sebanyak RM75. FOTO IHSAN KPDN
Siti Rohana Idris


Tumpat: Lelaki dipercayai penyeludup bertindak mencampak minyak masak paket ke arah pihak berkuasa yang mengejarnya dalam cubaan melarikan diri.

Kejadian itu berlaku jam 3 petang semalam apabila sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNK) negeri Kelantan mengekori sebuah kenderaan jenis Toyota Unser yang dikesan di Kubang Kerian, Kota Bharu.

Pengarah KPDN Negeri Kelantan, Azman Ismail berkata, kenderaan yang menghala ke arah Tumpat dan dinaiki seorang lelaki itu dilihat mencurigakan sebelum pihaknya mengekori.

"Suspek yang menyedari kenderaannya diekori bertindak memecut dan sebaik tiba di Pasir Pekan, suspek mencampakkan sejumlah minyak masak paket bersama kotak ke arah kenderaan yang dinaiki anggota kami di belakang.

"Tindakan itu dilakukan beberapa kali sehingga memasuki kawasan Kampung Delima, Wakaf Bharu sebelum kenderaannya gagal dikesan.

"Bagaimanapun pihak kami sudah mengenalpasti kenderaan itu dan lelaki berkenaan sedang dikesan," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Azman berkata, daripada risikan yang dibuat mendapati suspek mendapatkan bekalan minyak masak itu daripada beberapa pembekal di sekitar Kota Bharu sebelum membawanya ke Tumpat untuk diseludup ke Thailand menerusi Sungai Golok.

Sehubungan itu, pihaknya merampas 30 kilogram (kg) minyak masak paket 1kg bersubsidi di atas jalan raya di Kampung Delima dan sitaan dibuat dengan nilai dianggarkan sebanyak RM75.

"Kami sudah kenalpasti suspek dan usaha mengesan sedang dibuat untuk siasatan atas kesalahan menghalang dan mengganggu penjawat awam melakukan tugasan selain dan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 5:53 PM