CHE Nor Atikah menunjukkan gambar Aqasha yang melecur selepas botol pewangi bilik meletup daripada timbunan sampah-sarap yang dibakar di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat, malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
CHE Nor Atikah menunjukkan gambar Aqasha yang melecur selepas botol pewangi bilik meletup daripada timbunan sampah-sarap yang dibakar di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat, malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris


KANAK-KANAK lelaki berusia tiga tahun melecur di bahagian muka dan kedua-dua tangannya selepas sebotol pewangi bilik meletup daripada timbunan sampah-sarap yang dibakar, 7 malam tadi.

Dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat, Nor Muhammad Aqasha Nor Alishah, turut cedera di bahagian leher serta kedua-dua telinga akibat letupan itu.

Ibunya, Che Nor Atikah Che Omar, 29, berkata ketika kejadian dia sedang membakar sampah di belakang rumah tanpa menyedari anak ketiga daripada empat beradik itu turut berada di situ.

“Semasa saya turun untuk membakar sampah, Aqasha masih bermain di dalam rumah dan saya tidak sedar langsung dia mengekori.

“Ketika sedang mengutip sampah kira-kira dua meter dari timbunan sampah sedang dibakar, satu letupan kuat kedengaran disertai api besar secara tiba-tiba.

“Apa yang lebih mengejutkan, Aqasha tiba-tiba meluru ke arah saya dalam keadaan menangis sambil berkata panas dan ingin mandi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Panik melihat keadaan muka anaknya yang agak berdebu dan kulit sedikit menggelupas, Che Nor Atikah merenjiskan air di bahagian berkenaan.

Dia dan suaminya segera membawa Nor Muhammad Aqasha ke klinik di Pasir Pekan dan kanak-kanak itu terus dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu.

Menurutnya, sebaik tiba di HRPZ II, anaknya terus dirawat di Zon Merah dan ketika menerima rawatan dan dibersihkan, kesan lecur di muka Nor Muhammad Aqasha jelas kelihatan teruk.

“Anak saya dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pagi tadi dan buat masa sekarang keadaannya belum dapat dipastikan sama ada stabil atau belum.

“Saya terpaksa berulang alik dari hospital ke rumah kerana menjaga anak bongsu berusia sembilan bulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 5:10 PM