SEBANYAK 595 kg minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM1,487.50 ditemukan dalam kereta jenis Proton Saga BLM selepas ditinggalkan pemandunya di Kampung Telaga Bata. FOTO Ihsan KPDN
SEBANYAK 595 kg minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM1,487.50 ditemukan dalam kereta jenis Proton Saga BLM selepas ditinggalkan pemandunya di Kampung Telaga Bata. FOTO Ihsan KPDN
Siti Rohana Idris

Tumpat: Lelaki dipercayai penyeludup memecut kenderaannya yang membawa muatan minyak masak sejauh 20 kilometer (km) sebaik menyedari diekori pihak berkuasa.

Kereta Proton Saga itu yang memasuki kawasan kampung di Telaga Bata, di sini, menemui jalan mati sebelum pemandunya bertindak melarikan diri ke dalam semak.

Terdahulu, anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mengesan kenderaan itu di Lundang, Kota Bharu pada 9 malam tadi.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, kereta itu dilihat dalam keadaan mencurigakan menghala ke Tumpat.

Menurutnya, sebaik pemandunya menyedari diekori, dia memecut laju kenderaannya bermula dari Pasir Pekan sehingga ke Kampung Telaga Bata iaitu sejauh kira-kira 20 km.

"Sebaik memasuki kampung itu, pemandu bertindak meninggalkan kenderaannya kerana gagal mencari jalan keluar dan melarikan diri ke semak berhampiran.

"Pemeriksaan dalam kenderaan menemui beberapa kotak mengandungi 595 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai RM1,487.50," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua minyak masak bersubsidi itu dipercayai untuk dibawa ke pangkalan haram di Pengkalan Kubor bagi tujuan penyeludupan ke Thailand.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 12:33 PM