PENYELARAS Dewan Undangan Negeri Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad menyerahkan surat hak milik tanah kepada penduduk. FOTO Ihsan Pembaca
PENYELARAS Dewan Undangan Negeri Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad menyerahkan surat hak milik tanah kepada penduduk. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Hasrat lebih 24 tahun pemilik rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang dekat sini, untuk mendapatkan hak milik individu akhirnya menjadi kenyataan.

Seramai 300 pemilik rumah menerima surat hak milik itu dalam Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Hakmilik Individu berserta dengan Notis 5A di sini, kelmarin.

Rata-rata penduduk yang ditemui bersyukur dan terharu dengan usaha pelbagai pihak menyelesaikan masalah pemilikan tanah yang berlanjutan sekian lama itu.

Penduduk, Zulkifli Abu Bakar, 62, yang menetap lebih 20 tahun di Bandar Sungai Buaya berkata, doa dan kesabaran beliau selama ini terbalas dengan hasil yang diharapkan.

"Penyerahan Notis 5A ini kira penghujungnya. Syukurlah 24 tahun menanti (penantian yang cukup lama), terima kasih banyak," katanya ketika ditemui selepas menerima surat kelulusan hak milik itu.

Pesara kerajaan, Suhaimi Ariffin, 62, berkata, penerimaan surat kelulusan hak milik individu ini adalah harta paling berharga dan ia akan dihadiahkan kepada anaknya.

"Perjuangan ini atas kerjasama semua penduduk, usaha dan doa semua Allah makbulkan," katanya.

Kerajaan Selangor komited menyelesaikan isu tanah pembangunan Bandar Sungai Buaya bagi memastikan pengeluaran geran hak milik individu kepada 3,580 pemilik rumah dapat diselesaikan.

Berbaki 3,130 pemilik rumah, surat kelulusan hak milik individu akan disampaikan secara berfasa dan dijangka selesai menjelang Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 10:46 PM