TANAH penduduk yang terbabit dengan pembinaan jalan baru Pakej 3D Kampung Mentara Lama-Bulatan Bandar Gua Musang.
TANAH penduduk yang terbabit dengan pembinaan jalan baru Pakej 3D Kampung Mentara Lama-Bulatan Bandar Gua Musang.
Ramli Ibrahim


SERAMAI 26 pemilik rumah di Kampung Tanah Puteh di sini, buntu apabila mereka diarahkan berpindah dalam masa 14 hari selepas menerima notis pindah, Ahad lalu.

Notis dikeluarkan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang itu selepas tanah yang mereka duduki terbabit dengan pembinaan jalan baru Pakej 3D jarak 10.5 Kilometer Kampung Mentara Lama-Bulatan Bandar Gua Musang.

Penduduk, Norizan Awang, 48, berkata, dia buntu selepas menerima notis itu kerana tidak tahu berpindah di lokasi mana.

“Sebelum ini, kami dijanjikan diberi tapak rumah dan pampasan, tetapi setakat ini belum menerimanya. Notis yang bertarikh 17 Oktober itu memberi tempoh selama 14 hari kepada kami mengosongkan rumah.

“Sebagai penduduk asal di kampung ini, saya kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku kerana tidak mendapat pembelaan daripada pihak bertanggungjawab.

“Kami bukan tak mahu pindah kerana memahami pembinaan projek ini dan bersedia pada bila-bila masa jika kerajaan menyediakan perkampungan baharu yang lengkap,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, situasi yang mereka hadapi sekarang amat mengejutkan apabila diarah berpindah tanpa disediakan tapak rumah baharu.

Difahamkan, sebanyak 145 rumah perlu dirobohkan kerana terbabit dengan pembinaan jalan berkenaan, tetapi hanya 119 rumah layak menerima pampasan kerana ada geran hak milik.

Seorang penduduk, Mohd Fandi Rajab, 43, berkata, dia juga menerima notis pindah itu, tetapi tidak ada tempat yang mahu dituju.

“Saya terkejut menerima notis itu kerana perbincangan sebelum ini dengan pihak terbabit, mereka berjanji untuk memberi bantuan rumah di kampung lain sebagai ganti.

“Kini lain pula keputusan apabila menghalau kami begitu sahaja dan ke mana kami mahu pergi serta tindakan ini terlalu zalim.

“Jika ada disediakan bantuan rumah, kami tidak ada masalah kerana boleh berpindah dengan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:10 AM