PENDUDUK Flat PKNS Sungai Baru mendakwa menerima arahan pengosongan rumah. FOTO Hairul Anuar Rahim
PENDUDUK Flat PKNS Sungai Baru mendakwa menerima arahan pengosongan rumah. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohamad Ashyiq Haqimi


Kuala Lumpur: Penduduk Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru di Kampung Baru, di sini, terkejut selepas mendapat notis pengosongan kediaman.

Difahamkan penduduk diarah mengosongkan rumah selepas Borang K dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dikeluarkan pada 22 Mac lalu.

Penduduk juga mendakwa mereka tidak ditawarkan alternatif selepas menerima arahan pengusiran itu.

Penduduk, Hashim Mohd Salleh, 62, berkata, dia sebak selepas mendapat notis pengosongan itu.

"Saya terkejut kerana perlu mengosongkan rumah tanpa memberi tarikh akhir. Saya tidak sangka menerima arahan ini pada bulan yang mulia.

"Sekurang-kurangnya berilah kami sedikit masa untuk bersedia," katanya di sini, hari ini.

Seorang lagi penghuni, Ridzuan Yusof, 47, berkata, penyerahan notis pengosongan itu menunjukkan pihak berkaitan tidak prihatin dengan nasib penduduk.

"Sepatutnya, pihak bertanggungjawab berbincang dulu dengan semua pihak berkepentingan supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan cara baik.

"Kasihanilah kami, ada di antara kami yang masih mencari rumah untuk menetap, ditambah pula dengan Aidilfitri bakal yang disambut tidak lama lagi," katanya.

Pembangunan semula Kampung Sungai Baru membabitkan kawasan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman, iaitu Flat PKNS dan rumah di tanah persendirian.

Difahamkan 70 peratus pemilik di kawasan terbabit didakwa bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu dan menurunkan tandatangan.

Pada Ogos 2021, segelintir penduduk yang belum menurunkan tandatangan menerima notis siasatan di bawah Borang F, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang diminta hadir secara giliran pada 23 hingga 26 Ogos untuk diambil keterangan penilaian oleh PTG.

Pada Julai 2021, penduduk di Kampung Sungai Baru menerima surat Warta Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Namun, difahamkan segelintir penduduk tidak bersetuju dengan pampasan ditawarkan, iaitu RM240,000 hingga RM260,000 bagi unit flat dan kira-kira RM400 sekaki persegi bagi kategori rumah teres.

Sementara itu, BH Online melaporkan, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu bersama pihak berkepentingan esok.

"Saya pun belum dapat maklumat tepat mengenai perkara ini kerana urusan pengambilan tanah ini dibuat oleh PTG, bukannya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Saya masih di peringkat rundingan dan mereka akan beri maklumat minggu depan. Kita akan nilai semula perkara ini esok.

"Difahamkan pemilik unit yang mendapat notis sudah mendapat pampasan dari pihak kerajaan, selain notis tidak menyatakan tarikh mereka perlu keluar, bukan Ramadan mahupun Aidilfitri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 6:08 PM