Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan membawa wanita Orang Asli hamil yang kritikal akibat pendarahan pada kandungan dari Kampung Orang Asli Peroh, Kahang, hari ini.

Menurut Pemangku Pengarah JBPM Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang, mangsa Mustika Lakano, 41, yang hamil 16 minggu terkandas akibat banjir berjaya dibawa keluar dan dirujuk ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) pada 2.35 petang.

"Operasi khidmat khas 'Medical Evacuation' (MEDEVAC) diketuai oleh Mohd Faridullahamin Mohd Noh dijalankan jam 1 tengah hari ini bagi menyelamatkan mangsa.

"Mangsa mengalami pendarahan sejak semalam dan dibawa ke Ladang Mutiara sebelum diterbangkan ke padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kota Tinggi lalu dibawa ambulans ke HEBHK.

"Turut serta dalam operasi itu lima krew penerbangan serta dua pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan operasi ditamatkan pada jam 2.35 petang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga merancang menerbangkan dua lagi wanita hamil esok pagi dengan bantuan Unit Udara JBPM berpangkalan dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang.

WANITA Orang Asli hamil 16 minggu diselamatkan menggunakan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
WANITA Orang Asli hamil 16 minggu diselamatkan menggunakan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini. FOTO Ihsan Bomba.

"Dua wanita yang masing-masing hamil 29 dan 34 minggu serta separa kritikal itu dari Kampung Orang Asli Pucur akan dibawa keluar menggunakan bot ke Ladang Mutiara sebelum diterbangkan ke padang SMK Jalan Kota Tinggi dan dirujuk ke HEBHK," katanya.

Beliau berkata, hari ini pihaknya juga melaksanakan operasi menghantar bekalan makanan kepada penduduk Kampung Peta, Mersing menggunakan helikopter jenis August AW139.

Katanya, dalam operasi itu, sebanyak 700 kilogram bekalan makanan sumbangan Pengurusan Bencana Daerah Mersing telah dibawa untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan itu yang terputus hubungan akibat jalan utama dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 10:00 PM