TINDAKAN seorang wanita hamil enggan dan takut menerima rawatan lanjut di hospital, menyebabkan usaha menyelamat melalui helikopter di Kampung Orang Asli Punchor Kahang Kluang Johor hampir tergendala. FOTO Ihsan JBPM
TINDAKAN seorang wanita hamil enggan dan takut menerima rawatan lanjut di hospital, menyebabkan usaha menyelamat melalui helikopter di Kampung Orang Asli Punchor Kahang Kluang Johor hampir tergendala. FOTO Ihsan JBPM
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Tindakan seorang wanita hamil enggan dan takut menerima rawatan lanjut di hospital, menyebabkan usaha menyelamat melalui helikopter di Kampung Orang Asli Punchor Kahang hampir tergendala hari ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berkata, pihak keluarganya terpaksa mengambil masa setengah jam sebelum berjaya memujuk wanita yang berusia 32 tahun itu.

"Operasi khidmat khas Medical Evacuation (MEDEVAC) itu menggunakan helikopter August AW139 tiba di berhampiran ladang tembikai di kampung berkenaan dan dimaklumkan bahawa salah seorang pesakit tidak mahu menerima rawatan ke hospital akibat takut ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

"Wanita itu dikenali Sofia Semanggar, 32, sedang sarat hamil dan usia kandungan mencecah 32 minggu perlu dirujuk segera ke hospital kerana mempunyai sejarah kelahiran bayi pramatang," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, dalam penerbangan sama, pihaknya turut membawa seorang lagi wanita sarat hamil yang mengalami komplikasi.

"Pesakit kedua yang dikenal Sandora Anam, 39 tahun yang sedang 29 minggu usia kandungan turut dibantu bagi dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, lima krew penerbangan yang diketuai Juruterbang Penguasa Bomba Mohd Faridullahamin Mohd Noh serta dua orang pegawai perubatan KKM dari HEBHK menyertai misi itu.

Katanya, oeprasi dijalankan bermula pada jam 9.58 pagi dan tamat pada jam 11.17 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 3:42 PM