Anggota JBPM mengusung Maimon dari Pos Balar yang pengsan untuk dikejarkan ke HGM hari ini.
Anggota JBPM mengusung Maimon dari Pos Balar yang pengsan untuk dikejarkan ke HGM hari ini.
Ramli Ibrahim

SEORANG wanita Orang Asli yang pengsan di rumahnya di Pos Balar dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) melalui penerbangan ihsan Unit Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Udara Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan ihsan membawa Maimon Abus, 21, berlepas dari Subang, jam 11.30 pagi.

“Kami dimaklumkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak jam 9 pagi berhubung wanita itu yang sedang hamil sebulan, sudah tiga kali pengsan sepanjang pagi ini.

“Dia juga dikatakan sudah tiga hari sesak nafas dan sakit dada,” katanya ditemui di sini.

Menurut beliau, penerbangan ihsan itu menggunakan helikopter Agusta AW139.

Helikopter mendarat di Pos Balar jam 12.10 tengah hari dan ketika itu, Maimon masih belum sedarkan diri.

“Wanita itu tidak boleh dibawa ke HGM menggunakan jalan darat.

“Helikopter ini kemudiannya mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang jam 12.33 tengah hari,” katanya.

Menurut beliau, wanita terbabit yang dalam keadaan stabil dibawa ke HGM dengan kenderaan EMRS disediakan JBPM ditemani suaminya, Darubi Zainal, 24.

“Penerbangan ihsan ini diketuai juruterbang, Penguasa Bomba Faridullahamin Mohd Noh dengan dibantu penolong juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zukhairee Abidi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 7:47 PM