Ramli Ibrahim


Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan membawa wanita Orang Asli yang mengalami demam panas ke Hospital Gua Musang (HGM) hari ini.

Geryon Angen, 23, dari Kampung Piyel, Pos Bihai mengalami demam panas sejak seminggu lalu dan muntah serta tidak boleh berjalan.

Juruterbang penerbangan ihsan itu, Kapten Faridullahamin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima permohonan penerbangan ihsan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak pada 6 petang semalam.

Menurutnya, pihaknya berlepas dari Pangkalan Subang pada 9 pagi menggunakan helikopter Agusta AW139.

Katanya, pihaknya mengambil masa satu jam perjalanan untuk sampai ke Gua Musang sebelum ke Kampung Piyel.

"Sebaik mendarat di Kampung Piyel pada 10.50 pagi, pesakit terbabit sudah dalam persiapan di rumah sebelum diusung ke helikopter.

"Geryon juga dalam keadaan alahan kerana hamil dua bulan anak kedua dan ditemani suaminya, Heranwak Alang, 25," katanya.

Menurut Faridullahamin, penerbangan itu turut dibantu penolong juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Azuna Mohamed Sabri.

Katanya, penerbangan berkenaan mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 11.15 pagi.

GERYON demam panas kritikal di Kampung Piyel, Pos Bihai diusung menaiki helikopter dikejar ke HGM. FOTO Ramli Ibrahim
GERYON demam panas kritikal di Kampung Piyel, Pos Bihai diusung menaiki helikopter dikejar ke HGM. FOTO Ramli Ibrahim

"Geryon kemudiannya dikejarkan ke HGM dengan menggunakan jentera EMRS disediakan JBPM.

"Kita terpaksa membantu pesakit wanita Orang Asli ke hospital berikutan jalan perhubungan mengalami kerosakan kerana hujan musim tengkujuh.

"Alhamdulillah, penerbangan kita untuk tugas menyelamat wanita itu berjalan lancar kerana cuaca baik dan tidak hujan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 2:02 PM