Pasukan bomba memantau lokasi tanah runtuh di Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud. FOTO IHSAN BOMBA
Pasukan bomba memantau lokasi tanah runtuh di Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud. FOTO IHSAN BOMBA
Recqueal Raimi


Kota Belud: Lapan sekeluarga diarah berpindah susulan tanah runtuh yang berisiko menjejaskan rumah mereka di Kampung Lebak Moyoh, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira 7.30 pagi itu disedari penduduk selepas mendengar bunyi dentuman kuat dan menghubungi pasukan bomba untuk bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.34 pagi dan sepasukan empat anggota hadir untuk pemantauan.

"Anggota mendapati berlaku runtuhan tanah dan batu dari cerun bukit berhampiran namun tiada rumah rosak mahupun mangsa tercedera," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pasukan Jabatan Kerja Raya turut hadir menilai risiko runtuhan dan lapan sekeluarga di sebuah rumah diarah berpindah.

Menurutnya, pasukan bomba memasang sawar di kawasan runtuhan bagi mengelak kejadian tidak diingini dan operasi ditamatkan pada 12.44 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 4:42 PM