GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 446 tokan dadah yang menyasarkan kawasan ladang di Felda, Felcra, Projek Perumaha Rakyat (PPR) dan perkampungan nelayan di seluruh megara ditahan menerusi Operasi Tapis Khas Siri 1/2023 pada 17 hingga 19 Januari lalu.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut menahan 183 orang dikehendaki berkaitan jenayah narkotik.

Menurut JSJN Bukit Aman, mereka yang ditahan berusia 14 hingga 71 tahun.

"Operasi terbabit turut memeriksa 4,420 individu dan daripada jumlah itu 3,701 ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

"JSJN juga merampas 894 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, 53.23 liter pelbagai jenis cecair dadah, 647.6 kg daun ketum dan 695.61 liter air ketum yang membawa nilai rampasan adalah sebanyak RM 4.64 juta," kata JSJN menerusi kenyataan, hari ini.

Menerusi operasi itu juga polis menahan tujuh lelakidengan rampasan 840.7 kg ganja yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta di Pulau Pinang dan Perak.

"Selain itu, JSJN turut menahan seorang lelaki berbangsa Iban dengan rampasan sejumlah 39.8 kg serbuk ekstasi yang dianggarkan bernilai RM1.9 juta di Sarawak.

"Sebanyak empat laras senapang, sepucuk pistol, 57 peluru hidup dan sebilah pedang 'Samurai' berjaya dirampas sepanjang Op Tapis Khas ini.

JSJN akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

"JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222," katanya.

INFOGRAFIK PDRM
INFOGRAFIK PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 2:12 PM