BERNAMA

Kuala Lumpur: Enam filem tidak mendapat kelulusan tayangan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) pada tahun lalu, manakala satu filem tidak diluluskan untuk tayangan tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, filem-filem itu ialah Daulat, Real Love, Shubh Mangal Zyada Saavdhan, Pallu Padama Paathuka, White Eye dan Boluomi selain The Battle At Lake Changjin.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu mengapa LPF bukan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta jumlah filem yang diharamkan pada 2020 dan 2021 pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, LPF tidak diletakkan di bawah KKMM kerana fungsinya adalah terhad kepada penapisan kandungan filem yang sudah siap untuk ditayangkan kepada umum.

Menurutnya, LPF juga tidak terbabit dalam urusan pembikinan atau pengeluaran filem kerana ia dilaksanakan secara langsung oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), iaitu agensi di bawah KKMM yang melaksana fungsi khusus untuk membangunkan industri filem tempatan berdasarkan peruntukan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

THE Battle At Lake Changjin tidak mendapat kelulusan tayangan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF).
THE Battle At Lake Changjin tidak mendapat kelulusan tayangan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF).

Katanya, LPF mengguna pakai Garis Panduan Penapisan Filem KDN 2010 dalam melaksanakan proses penapisan filem dengan menekankan empat aspek utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.

"Adalah jelas bahawa aspek keselamatan dan ketenteraman awam merupakan aspek tunjang yang menjadi keutamaan LPF dalam menilai kandungan sesebuah filem sebelum ia ditayangkan kepada umum yang menjadi asas LPF diletakkan di bawah KDN," katanya.

Katanya, LPF kekal diletakkan di bawah bidang kuasa KDN bagi memastikan kandungan filem yang ditayangkan kepada umum tidak melanggar keempat-empat aspek utama yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 1:14 PM