ANTARA mangsa yang cedera susulan kebakaran berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA mangsa yang cedera susulan kebakaran berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Selayang: Empat individu termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kebakaran di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Perdana, Desa Aman Puri, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 3.14 pagi tadi.

"Seramai 16 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan BBP Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan sebuah rumah terletak di tingkat satu di bangunan 12 tingkat itu terbakar.

"Kebakaran membabitkan sofa di ruang tamu yang menyebabkan sebahagian struktur rumah turut terbakar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

Katanya, tujuh penghuni rumah berkenaan sempat keluar dari kediaman mereka sebelum api marak.

"Daripada tujuh penghuni berkenaan, dua mangsa dewasa selamat, manakala dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan cedera.

"Dua wanita berkenaan dilaporkan cedera di bahagian tangan dan muka. Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 8:15 AM