Lapan sekeluarga termasuk lima kanak-kanak terselamat selepas rumah teres tiga tingkat yang didiami mereka terbakar hari ini. FOTO / IHSAN JBPM Selangor
Lapan sekeluarga termasuk lima kanak-kanak terselamat selepas rumah teres tiga tingkat yang didiami mereka terbakar hari ini. FOTO / IHSAN JBPM Selangor
Norzamira Che Noh


Klang: Mujur berjaya menyelamatkan diri melalui pintu belakang. Itu nasib lapan sekeluarga termasuk lima kanak-kanak yang mengalami sesak nafas sejurus keluar dari rumah tiga tingkat di Solok Kelicap, Kawasan 17 Klang, yang marak terbakar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 1.06 tengah hari tadi.

Katanya, sepasukan pegawai serta anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Kota Raja, Andalas, Kapar dan Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik saja tiba di lokasi, didapati sebuah rumah teres tiga tingkat terbakar di bahagian bawah.

"Semua penghuni rumah iaitu lima kanak-kanak dan tiga dewasa berusia dua hingga 30 tahun bagaimanapun berjaya keluar melalui pintu belakang rumah itu," katanya.

Beliau berkata, empat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam manakala empat lagi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

Katanya, api dapat dikawal pada jam 1.37 petang dan rumah berkenaan dianggarkan terbakar 40 peratus.

"Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 5:29 PM