KANAK-KANAK lelaki melecur di seluruh badan selepas rumahnya di Jalan Tan Sri Manickavasagam, Semenyih, terbakar. FOTO Ihsan PDRM
KANAK-KANAK lelaki melecur di seluruh badan selepas rumahnya di Jalan Tan Sri Manickavasagam, Semenyih, terbakar. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Semenyih: Seorang kanak-kanak lelaki melecur di seluruh badan selepas rumahnya di Jalan Tan Sri Manickavasagam, di sini, terbakar, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.02 pagi.

"Seramai tujuh anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dan BBP Kajang dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kebakaran membabitkan sebuah bilik di sebuah rumah teres di lokasi berkenaan.

"Bagaimanapun kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum bomba tiba," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun melecur di seluruh badan.

"Difahamkan ketika kejadian hanya kanak-kanak berkenaan berada di rumah itu.

"Kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 12:56 PM