NURUL Aina (tengah) bersama anak-anaknya sudah tiga kali berpindah ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.
NURUL Aina (tengah) bersama anak-anaknya sudah tiga kali berpindah ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Biar pun Monsun Timur Laut (MTL) hanya akan bermula Sabtu ini, namun impak musim peralihannya cukup memeritkan kehidupan mangsa banjir di Changkat Jong, di sini sehinggakan ada antara mereka terpaksa berpindah sebanyak tiga kali ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Nurul Aina Zainal Abidin, 29, dari Batu 9 Changkat Jong, berkata pertama kali dia bersama suami, Muhammad Zulfikar Abd Rahman, 31, serta empat anak mereka diarah berpindah ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak pada 23 Oktober lalu.

"Dah pindah tiga kali. Pertama kali pindah PPS pada 23 Oktober akibat Sungai Bidor dan Sungai Sungkai berhampiran rumah melimpah selepas hujan lebat hinggakan air yang masuk ke dalam rumah.

"Pada 27 Oktober air surut, jadi kami berkemas dan pulang bersihkan rumah. Hanya satu malam sahaja kami dapat bermalam di rumah kerana pagi 28 Oktober hujan lebat sehingga rumah sekali lagi ditenggelami bah dan kami diarahkan berpindah semula ke PPS.

"Sabtu lalu kami dapat pulang ke rumah lagi selepas lapan hari di PPS, tapi disebabkan hujan lebat dari petang hingga malam Ahad, kami dipindahkan buat kali ketiga semalam," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, di sini, malam ini.

Menurut suri rumah itu, saban tahun bencana banjir melanda rumahnya sehinggakan dia sekeluarga pernah ditempatkan di PPS selama sebulan sebelum keadaan benar-benar pulih seperti sedia kala.

"Akhir tahun lalu, saya yang ketika itu sarat mengandung dan lima beranak mengandung terpaksa berpindah ke PPS sebanyak lima kali sehingga air sungai kembali ke paras selamat dan banjir akhirnya surut," katanya.

Situasi sama turut dialami Zubaidah Shahruddin, 38, dari Batu 7 Changkat Jong yang sudah berpindah dua kali ke PPS sama dalam tempoh 15 hari.

Menurut ibu kepada enam anak itu, kali pertama dia sekeluarga diarahkan berpindah adalah pada 24 Oktober lalu akibat limpahan Sungai Bidor dan Sungai Mati.

"Ahad lalu, air banjir sudah surut dan kami dibenar pulang ke rumah.

"Namun, kegembiraan itu cukup singkat kerana petang itu hujan turun dengan lebat sehingga air banjir naik begitu cepat.

"Tak sempat pun kami sekeluarga bermalam di rumah, terpaksa berpindah semula ke PPS ini," katanya.

Zubaidah berkata, bencana itu amat menjejaskan pendapatan suaminya, Zulkifli Ibrahim, 44, yang bekerja sebagai penjual roti canai kerana gerai milik mereka yang terletak bersebelahan Sungai Mati digenangi dengan arus deras sekali gus menghalang mereka beroperasi.

"Itulah kedai asalnya tapi sudah banjir. Kena keluar cari rezeki di tempat lain.

"Sekarang, suami menumpang di kedai kawan. Kawan jual makanan lain, suami tebar roti canai," katanya yang juga membantu perniagaan suami.

Mohd Hanif Ramli, 45, pula berkata dia dan keluarganya antara mangsa banjir terawal yang diarah berpindah sejak pembukaan PPS itu.

Katanya, sehingga hari ini rumah mereka di Batu 7½ belum selamat untuk dihuni kerana paras air di dalam kediamannya sahaja setinggi paras peha.

"Setiap dua hari, saya akan balik sebentar bagi meninjau keadaan rumah.

"Apabila sudah lama berada di PPS ini, hati mula risaukan harta benda di rumah yang ditinggal lama. Takut-takut rumah jadi sasaran penjenayah.

"Pagi tadi saya lihat tingkap kaca rumah saya sudah ada kesan umpil. Saya yakin itu bukan kesan kera tapi orang. Mujur tiada apa-apa barang yang hilang," katanya.

Berdasarkan Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 8 malam tadi, bilangan mangsa banjir di Perak adalah seramai 310 orang daripada 91 keluarga ditempatkan di tiga PPS di daerah Hilir Perak dan Kerian.

PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, di sini adalah PPS yang menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 156 orang daripada 48 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 11:40 PM