Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Harga sayur-sayuran yang tidak stabil dan meningkat sehingga lebih 10 peratus sejak dua minggu lalu membimbangkan pemborong dan peruncit barangan mentah itu.

Tinjauan ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, hari ini, mendapati antara sayur yang menunjukkan peningkatan harga yang ketara adalah tomato yang sebelum ini dijual dengan RM5 sekilogram dan meningkat kepada RM8 sekilogram.

Pemborong yang juga peruncit sayur-sayuran, Ariffin Ahmad, 40, berkata, harga borong tomato meningkat sejak dua minggu lalu apabila peniaga mendapat harga RM7.90 sekilogram.

Katanya, harga yang tinggi itu menyebabkan peniaga dalam dilema kerana perlu menjual tidak melebihi RM8 seperti harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Ia menyebabkan kami hanya mendapat untung sebanyak 10 sen sahaja bagi sekilogram. Sedangkan kami perlu menanggung risiko kerugian apabila tomato itu cepat rosak sekiranya tidak laku.

"Selain itu, beberapa jenis sayur-sayuran lain juga naik termasuk cili padi merah iaitu RM12 sekilogram berbanding sebelum ini hanya RM8, kacang panjang RM18 bagi dua kilogram (kg) berbanding sebelum ini RM8. Peningkatan harga ini membebankan pemborong dan juga pembeli," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

TINJAUAN di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendapati beberapa jenis sayur naik kerana kebanyakan peniaga yang menerima bekalan dengan harga sedikit tinggi daripada pembekal sejak beberapa hari lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendapati beberapa jenis sayur naik kerana kebanyakan peniaga yang menerima bekalan dengan harga sedikit tinggi daripada pembekal sejak beberapa hari lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Peniaga, Hazan Mat Said, 52, berkata, harga sayur-sayuran tempatan meningkat berikutan keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan tanaman tidak menjadi.

Katanya, harga timun batang meningkat daripada RM6 sekilogram kepada RM8 yang kemungkinan disebabkan oleh kejadian banjir yang lalu.

"Namun, harga sayur-sayuran dari negara jiran tidak naik seperti sawi yang dijual RM5 sekilogram.

"Ada sayur kita ambil dari negara jiran dan ada juga dari pembekal tempatan. Harga sayur-sayuran dari negara jiran kita lihat harganya tetap sejak sebulan lalu, namun yang tempatan ini naik," katanya.

Peniaga, Mastura Hanis Mat Hussin, 36, berkata, harga sayur-sayuran tidak stabil sejak beberapa minggu lalu apabila ada turun dan naik.

"Seperti terung ungu harganya RM45 bagi sepaket lima kg berbanding sebelum ini hanya RM26 sahaja.

"Saya juga bimbang jika harga sayur-sayuran ini akan naik lagi berikutan sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi. Saya harap pihak berkenaan membuat pemantauan supaya harga sayur-sayuran kembali stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 3:38 PM